MUHAMMAD Amsyar
MUHAMMAD Amsyar
Fairul Asmaini Mohd Pilus

Kuala Pilah: “Muhammad Amsyar memerlukan pembedahan pemindahan hati dengan segera kerana jika tidak, ia akan menjejaskan nyawanya.

“Keadaan kesihatannya kini membimbangkan kerana tahap pembekuan darahnya merosot,” kata suri rumah, Norazlinah Abdul Aziz, 35,

Menurut Norazlinah, anak bongsunya berusia 11 bulan itu disahkan mengalami masalah saluran hempedu tersumbat Biliary Atresia ketika berusia 20 hari.

Katanya, meskipun Muhammad Amsyar pernah menjalani pembedahan pada usia 40 hari, tetapi ia tidak berjaya merawat masalah berkenaan.

“Kami merujuk Muhammad Amsyar ke hospital di ibu negara, tetapi tidak dapat menjalani pembedahan segera kerana perlu mematuhi senarai menunggu.

“Doktor yang merawat menyarankan kami menjalani pembedahan di hospital di Shanghai, China yang tidak memerlukan tempoh menunggu terlalu lama.

“Namun, apa yang menjadi kekangan adalah dana kerana kos keseluruhan mencecah RM350,000,” katanya selepas dikunjungi Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BiKUM) Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah Datuk Ismail Lasim dan Dr Mohamad Erhan Rahimi sempena program UMNO Bantu Rakyat 2.0 di Negeri Sembilan, semalam.

DR Shamsul Anuar (dua dari kanan) bersama Dr Mohamad Erhan (tiga dari kanan) menziarahi Muhammad Amsyar di rumahnya
DR Shamsul Anuar (dua dari kanan) bersama Dr Mohamad Erhan (tiga dari kanan) menziarahi Muhammad Amsyar di rumahnya

Norazlinah berkata, suaminya Muhammad Illias Isa, 32, akan mendermakan hati kerana dia adalah penderma sesuai untuk anak mereka.

Namun, mereka perlu menunggu sehingga berat badan Muhammad Amsyar mencapai 10 kilogram iaitu kurang empat kilogram daripada berat sekarang.

“Saya sekeluarga akan berusaha apa yang terdaya termasuk meminta bantuan orang ramai bagi memastikan penyakit Muhammad Amsyar diubati,” katanya.

Sementara itu, Shamsul Anuar berkata, pihaknya akan meneliti keperluan dan laporan perubatan Muhammad Amsyar sebelum menyalurkan bantuan diperlukan.

“Keadaan Muhammad Amsyar memerlukan pembedahan segera dan sebagai permulaan, BiKUM menyalurkan RM20,000 bagi memastikan dia mendapat rawatan secepat mungkin.

“Kita akan rujuk kes ini kepada pakar perubatan sebelum bantuan lanjut disalurkan,” katanya.

Oleh itu, sesiapa yang ingin membantu adik Muhammad Amsyar, sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank Norazlinah Abdul Aziz 505028613765.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2017 @ 8:39 AM