Zamri ketika sidang media menjelaskan mengenai isu perubahan kadar cukai taksiran di Majlis Bandaraya Ipoh. FOTO Farah Suhaidah Othman
Zamri ketika sidang media menjelaskan mengenai isu perubahan kadar cukai taksiran di Majlis Bandaraya Ipoh. FOTO Farah Suhaidah Othman
Farah Suhaidah Othman


MAJLIS Bandaraya Ipoh (MBI) menegaskan tidak menaikkan kadar cukai taksiran sebagaimana didakwa sesetengah pihak sebaliknya perubahan cukai berkenaan bergantung kepada keluasan premis masing-masing.

Datuk Bandar Ipoh Datuk Zamri Man berkata, pihaknya tidak pernah mengenakan kenaikan cukai sejak 1982 berikutan kaedah pencukaian dibuat berdasarkan formula keluasan bangunan dan cukai taksiran ditetapkan.

Katanya, MBI membuat penilaian di setiap kawasan di daerah ini secara berperingkat sejak dua tahun lalu dan mendapati sesetengah premis mengalami perubahan pada keluasan bangunan.

“Saya tegaskan berulang kali, kita tidak pernah menaikkan cukai sejak 1982, sebaliknya kaedah pencukaian dibuat berdasarkan kepada pengiraan luas bangunan didarabkan dengan kadar cukai.

“Yang berlaku perubahan cukai disebabkan oleh perubahan luas bangunan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Zamri berkata, secara keseluruhannya, pegangan di bawah kawasan MBI adalah sebanyak 285,000 dan penilaian yang dibuat setakat ini adalah sebanyak 125,000.

Beliau berkata, terdapat pegangan yang mengalami pindaan nilai kadar cukai tahunan sama ada berubah, menurun atau masih kekal.

“Sesetengah warga Ipoh gusar apabila kita membuat penilaian bagi menentukan kadar cukai yang baru.

“Sebenarnya penilaian dibuat sejak 2015 di beberapa kawasan dan bagi tahun ini kita sudah keluarkan notis kepada mereka untuk mengimbangi semula terhadap penilaian berkenaan.

“Kita bagi notis sehingga 14 Januari ini untuk penduduk mengisi borang bagi menyatakan maklum balas berkenaan cukai terbabit dan kita anggap mereka yang tidak mengisi borang sebagai akur dengan kadar cukai dikenakan,” katanya.

Zamri berkata, setakat ini pihaknya menerima sebanyak 68 surat bantahan daripada pemilik premis yang menerima notis berhubung kadar cukai bagi tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2018 @ 8:19 PM