Khairul Najib Asarulah Khan


DUA lelaki pengedar dadah yang pernah dipenjarakan sebelum ini tidak serik apabila sekali lagi ditahan polis atas kesalahan sama di Seremban, Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri Sembilan, Superintendan Mohd Faisal Yahya berkata, suspek berusia 28 dan 39 tahun itu ditahan dalam Op Khas, Jumaat lalu.

Menurutnya, sepasukan polis melakukan serbuan di rumah di Taman Rasah Jaya, Seremban pada 10.30 pagi.

"Hasil serbuan kita berjaya menahan dua lelaki di dalam rumah dan merampas dadah disyaki heroin seberat 260.8 gram dan syabu seberat 12.2 gram bernilai RM5,084.

"Selain itu, kita turut menyita motosikal dan kereta selain wang tunai berjumlah RM11,730,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, hari ini.

MOHD Faisal menunjukkan heroin, syabu serta peralatan memproses dadah yang dirampas. FOTO Adzlan Sidek
MOHD Faisal menunjukkan heroin, syabu serta peralatan memproses dadah yang dirampas. FOTO Adzlan Sidek

Beliau berkata, dadah terbabit dipercayai akan dibungkus lebih kecil sebelum diedarkan ke pasaran di seluruh negeri ini.

Menurutnya, kedua-dua suspek yang berasal dari Seremban dan Jempol itu direman tujuh hari sehingga Khamis ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu, Mohd Faisal berkata, dalam tempoh minggu pertama tahun ini, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri sudah menahan 20 pengedar dadah iaitu dua daripadanya adalah perempuan berusia 19 hingga 62 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 2:10 PM