Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


SEBELUM ini pernah dua kali ditahan kerana kesalahan dadah, seorang ibu kepada tiga anak seperti tidak serik apabila disyaki terus terbabit dalam penagihan dadah.

Dalam Ops Sarang Khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang pada awal pagi tadi, wanita berusia 25 tahun itu ditahan sekali lagi ketika cuba masuk ke kawasan penagihan dadah di Tanjung Lumpur, Kuantan.

Dalam operasi bermula jam 12 tengah malam tadi hingga jam 2 petang itu turut menahan 80 penagih dan dua pengedar dadah.

Ketika ditanya, wanita berkenaan mengaku mengunjungi ‘port’ berkenaan setiap hari untuk mendapatkan dadah jenis syabu.

Difahamkan, wanita yang tinggal di Kampung Pak Mahat itu ke kawasan berkenaan bersama teman lelakinya dan memaklumkan dia sedang dalam proses perceraian dengan suaminya.

“Selalunya, dalam sehari saya menghisap satu tiub syabu dan sudah tiga tahun saya begini (menagih).

“Anak-anak saya tinggalkan dengan ibu dan adik di rumah,” katanya.

Antara barang dirampas daripada penagih dadah dalam ketika Ops Sarang Khas JSJN Pahang di sekitar kawasan belukar di Tanjung Lumpur, Kuantan. Foto Muhd Asyraf Sawal
Antara barang dirampas daripada penagih dadah dalam ketika Ops Sarang Khas JSJN Pahang di sekitar kawasan belukar di Tanjung Lumpur, Kuantan. Foto Muhd Asyraf Sawal

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang Superintendan Lam Thiam Huat berkata, pihaknya turut merampas dadah jenis syabu seberat 12 gram (g) dan heroin seberat 240g.

“Daripada 83 yang ditahan dalam operasi itu, enam daripadanya adalah warga asing dan dua lelaki tempatan berusia 35 dan 50 tahun ditahan atas kesalahan mengedar dadah.

“Kita akan mendapatkan perintah reman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya ketika sidang media, hari ini.

Beliau berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 39B, 39A, 15(1)(a) dan 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurutnya, kawasan Tanjung Lumpur sering dijadikan sebagai ‘port’ bagi penagih untuk melepaskan gian mereka atau untuk mendapatkan dadah.

“Sebelum kita pernah putihkan kawasan ini dan namun risikan yang dilakukan mendapatinya aktif semula, oleh itu operasi berterusan akan dilaksanakan dari semasa ke semasa.

“Kita berharap masyarakat akan terus bekerjasama menyalurkan maklumat dan sentiasa membantu polis dalam membanteras masalah dadah di negeri ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 8:05 PM