Farah Suhaidah Othman

LELAKI Orang Asli maut selepas dipercayai terbabit dalam pertengkaran bersama saudara lelakinya di Kampung Chenderong Kelubi, Air Kuning, Kampung Gajah, malam semalam.

Dalam kejadian pada 7 malam, mangsa Saleh Kambi, 51, cedera parah akibat dipukul dengan kayu api dari bekas bara di bahagian kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, siasatan mendapati mangsa bersama suspek berusia 28 tahun dan seorang lagi rakan berkumpul di belakang sebuah rumah yang jaraknya kira-kira 21 meter dari lokasi kejadian untuk meminum arak pada 3 petang.

Katanya, siasatan lanjut mendapati berlaku pertengkaran antara mangsa dengan suspek terbabit apabila mereka saling tolak-menolak dan mencekik leher hingga ke luar rumah.

"Suspek kemudian mengambil sebatang kayu api dari bekas unggun dan memukul kepala mangsa.

“Kejadian dipercayai berlaku akibat ejek-mengejek antara mangsa dan suspek ketika dalam keadaan mabuk," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 10:37 AM