PEMAIN Kedah,
PEMAIN Kedah,
Oleh Syahid Sokri

Alor Setar: Bermula dengan ejek-mengejek, beberapa penyokong Pulau Pinang cedera di kepala dan bahu, apabila terbabit dengan pergaduhan selepas perlawanan Liga Perdana menentang Kedah di Stadium Darulaman, di sini, malam kelmarin. 

Kejadian jam 11.30 malam itu dipercayai berpunca daripada provokasi melampau antara kedua-dua penyokong Helang Merah dan Harimau Kumbang yang berlaku sepanjang perlawanan itu.

Sumber berkata, insiden ejek-mengejek di dalam stadium itu kemudian bertukar menjadi semakin ‘panas’ hingga tercetus pergaduhan selepas tamat perlawanan.

Menurutnya, penyokong tuan rumah yang tidak berpuas hati dengan keputusan seri perlawanan bertindak memukul peminat Harimau Kumbang dengan kayu kerana didakwa mengejek mereka.

“Bagaimanapun, pergaduhan antara penyokong kedua-dua pasukan itu berjaya dileraikan polis dan mangsa yang cedera diberi rawatan kecemasan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

“Sebelum itu, kira-kira jam 6.30 petang, cermin sebuah bas dinaiki penyokong Pulau Pinang turut dipecahkan, dipercayai akibat dilempar seketul batu sehingga menyebabkan beberapa peminat cedera di kepala,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu berlaku tanpa diduga dan tiada siapa menyangka insiden berkenaan akan berakhir dengan keganasan sehingga penyokong Pulau Pinang mengalami kecederaan.

“Kejadian seumpama ini diharap tidak akan berulang kerana setiap penyokong perlu memiliki semangat kesukanan tinggi, selain tidak harus menjaga hubungan kedua-dua penyokong yang berjiran.

“Timbul pelbagai khabar angin akibat kejadian itu. Ada yang mengatakan punca kejadian disebabkan balas dendam ketika perlawanan di Pulau Pinang sebelum ini apabila penyokong Kedah dikepung peminat tuan rumah (di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang) sehingga ada yang cedera akibat dipukul,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan ketika dihubungi mengesahkan pihaknya akan melakukan siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu merusuh selepas mangsa yang mengalami kecederaan membuat laporan polis di Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2015 @ 8:45 AM