Oleh Nabihah Kamal


Kuala Lumpur: Dua lelaki melumurkan gam pada tangan mereka dipercayai bagi mengelak cap jari mereka dikesan ketika melakukan jenayah, termasuk pecah rumah.

Ketika ditahan di sebuah bangunan di Empire Damansara petang Rabu lalu, polis mendapati tangan dua lelaki itu dipenuhi gam dan mereka dipercayai mahu melakukan rompakan di bangunan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, suspek berusia 24 dan 37 tahun yang dikehendaki polis berkaitan kes dadah dan senjata itu, ditahan bersama kereta curi jenis Mazda 6 yang dilaporkan hilang di Sri Petaling tahun ini.

"Ketika ditahan tangan dua lelaki itu dipenuhi gam dipercayai bagi mengelak cap jari mereka dikesan di tempat jenayah," katanya.

Menurutnya, hasil siasatan terhadap suspek mendapati mereka ada dua lagi rakan subahat dan beberapa jam kemudian polis mengesan dua lelaki berkenaan di depan sebuah restoran di Taman Sri Sinar, Segambut.

"Bagaimanapun suspek yang memandu kereta Honda City cuba melanggar anggota polis menyebabkan dua tembakan dilepaskan ke arah tayar kereta berkenaan," katanya.

Munusamy bagaimanapun berkata, suspek berjaya melepaskan diri meninggalkan kereta menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Kereta itu dilaporkan hilang di Cheras dan pemeriksaan dalam kereta itu menjumpai pelbagai mata wang asing dianggar bernilai lebih RM1,000, tujuh komputer riba, tiga iPad dan barangan elektronik lain dipercayai hasil pecah rumah termasuk sebuah rumah di Taman Sri Sinar, Selasa lalu.

Munusamy berkata, kumpulan berkenaan dipercayai aktif melakukan jenayah pecah rumah sejak dua bulan lalu dan polis kini sedang memburu dua suspek berusia 30-an itu.

Buat masa ini kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2015 @ 7:10 PM
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy menunjukkan kereta yang ditinggalkan penjenayah selepas tayarnya ditembak. - Foto NABIHAH KAMAL
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy menunjukkan kereta yang ditinggalkan penjenayah selepas tayarnya ditembak. - Foto NABIHAH KAMAL
Antara barangan yang ditemui dalam kereta yang ditinggalkan suspek.  - Foto NABIHAH KAMAL
Antara barangan yang ditemui dalam kereta yang ditinggalkan suspek. - Foto NABIHAH KAMAL