MIRI: Polis Miri sedang mencari wanita warganegara Brunei yang melarikan diri dari Hospital Miri selepas disyaki dijangkiti Sindrom Pernafasan Virus Korona Timur Tengah (MERS-Cov) pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Miri, Asisten Komisioner Gan Tian Kee berkata, wanita berusia 76 tahun itu dimasukkan ke Hospital Miri pada 9.05 pagi pada 12 Jun lalu kerana disyaki menghidap penyakit berkenaan setelah menunaikan umrah di Mekah pada 10 hingga 22 Mei lalu.

"Pesakit itu ditahan di Hospital Miri kerana masih menunggu keputusan ujian kahak dan sampel berkaitan daripada pesakit," katanya di sini hari ini.

Gan berkata, pada 3.10 petang hari yang sama, keluarga pesakit itu memohon untuk membawa keluar pesakit namun doktor yang merawat tidak membenarkan kerana risiko kesihatan.

Beliau berkata, doktor di Hospital Miri turut dimaklumkan bahawa Hospital Brunei enggan menerima pesakit itu menyebabkan keluarga pesakit berkenaan marah dan bertindak agresif.

Beliau berkata, pesakit berkenaan dibawa keluar dari Hospital Miri pada hari yang sama oleh keluarganya tanpa kebenaran doktor pada 7.12 malam.

Beliau berkata, seorang jururawat hospital berkenaan membuat laporan polis pada 4.09 petang semalam dan Kementerian Kesihatan telah dimaklumkan mengenai perkara itu.

"Setakat ini, kita masih lagi mencari pesakit itu," katanya sambil menambah orang ramai tidak perlu panik kerana pesakit hanya disyaki dijangkiti virus itu sahaja.

Difahamkan, Jabatan Imigresen turut dimaklumkan mengenai hal itu dan diminta melaporkan segera dengan Jabatan Kesihatan sekiranya pesakit itu ditemui. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2015 @ 2:33 PM