FOTO Syafiq Ambak
FOTO Syafiq Ambak
Isma Ismai dan Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Tujuh jalan persekutuan dan lapan jalan negeri di Besut, Kemaman, Hulu Terengganu, Setiu dan Kuala Terengganu ditutup kepada semua kenderaan.

Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Kerja Raya Negeri Terengganu, berkata Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu di Kampung Sungai Bari, Setiu ditutup sebelah laluan untuk semua kenderaan.

Katanya, dua jalan negeri iaitu Jalan Pengkalan Merbau/Pelong di Kampung Pelong dan Jalan Chalok, Bukit Putera/Telaga Papan di Kampung Lubuk Panjang masing-masing ditutup di kedua-dua arah untuk semua kenderaan dengan kedalaman air 1.1 meter dan 0.6 meter.

Di Besut, Jalan Jertih, Pasir Akar/Keruak di Kampung Jerubong yang dinaiki air 0.5 meter ditutup untuk semua kenderaan manakala Jalan Kuantan-Kuala Terengganu dekat Kertih yang dinaiki air setinggi 0.25 meter hanya ditutup sebelah laluan untuk semua kenderaan.

Di Hulu Terengganu pula, empat jalan persekutuan iaitu Jalan Simpang Gaung-Simpang Sungai Tong, Jalan Aring 8 ke Kenyir/Kuala Jeneris di Kampung Basong, Kampung Landas ke Sungai Temala di Kampung Kepah dan Jalan Felda Mengkawang-Tersat di Kampung Lubuk Periuk juga ditutup untuk semua kenderaan selepas dinaiki air antara 0.25 meter hingga 1 meter.

Menurutnya, lima jalan negeri di Hulu Terengganu turut ditutup untuk semua kenderaan iaitu Jalan Matang/Nibong/Kuala Telemong, Kuala Puih/Tapah/Payang Kayu/Baung/Kuala Ping, Jalan Bukit Perah/Kampung Jak/Kampung Kuala Kejir dan Jalan Tapah/Kepah.

Katanya, satu laluan di Jalan Wakaf Beruas ke Padang Midin di Kuala Terengganu ditutup untuk semua kenderaan selepas dinaiki air 0.2 meter.

Sementara itu, empat pusat pemindahan baru dibuka di Setiu dan Besut menjadikan 17 lokasi pemindahan sudah beroperasi di empat daerah di Terengganu sehingga kira-kira 3 petang ini.

Hulu Terengganu terus mencatatkan jumlah mangsa pindah tertinggi iaitu seramai 849 orang daripada 251 keluarga berbanding 521 mangsa daripada 150 keluarga.

Menurut kenyataan banjir, etindakan.terengganu,gov.my, pusat pemindahan terbaru yang dibuka di Balai Raya Kampung Cacar Baru, Dungun membabitkan mangsa seramai 32 orang daripada tujuh keluarga.

Selain itu, jumlah mangsa yang dipindahkan di Marang juga meningkat kepada 222 orang daripada 52 keluarga berbanding 67 mangsa daripada 17 keluarga di enam pusat pemindahan.

Mangsa yang dipindahkan di Setiu masih kekal dengan jumlah 214 orang daripada 51 keluarga di tiga pusat pemindahan diikuti empat mangsa daripada satu keluarga di Besut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Disember 2016 @ 6:22 PM