Muhamaad Razis

KETUA kumpulan Harry Gunong dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini, atas dua tuduhan merompak di Pasir Puteh.

Tertuduh, Aierierullah Mat Atan, 25, yang lebih dikenali sebagai Harry bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Turut mengaku tidak bersalah tiga ahli kumpulannya, Mohd Zikrilah Abdullah, 30, Muhammad Iqbal Abdullah, 31, dan Mohammad Nordin Mustapha, 26 terhadap tuduhan bersama Harry merompak seorang pekerja kontrak.

Mengikut pertuduhan pertama, semua tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa merompak pekerja kontrak, Badrul Amin Hamzah, 21, dengan meminta wang RM100 serta mencederakan mangsa di tepi jalan di Kampung Wakaf Bunut, Pasir Puteh pada 4 petang, 10 Julai lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.

Bagi pertuduhan kedua, Aierierullah bersama dua lagi yang masih bebas didakwa melakukan rompak berkumpulan menggunakan pisau terhadap Nurul Baizura Baharom, 27, dengan melarikan kereta Proton Waja milik suami mangsa, Suhawai Suhaimin, 43, di tepi pantai Kampung Pachakan, Cherang Ruku, Pasir Puteh pada 6.50 petang, 23 Februari 2016.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama seksyen 397 kanun sama yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hajarul Falenna Abu Bakar tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh.

Semua tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak mengemukakan rayuan.

Mahkamah menetapkan 24 Januari dan 8 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, kumpulan Harry Gunung yang aktif melakukan kira-kira 20 jenayah berat di Kelantan dan Terengganu, tumpas selepas tiga lelaki termasuk ketuanya, Harry, ditahan di sebuah kedai makan di Melor, Kota Bharu.

AIERIERULLAH (baju merah), Muhammad Iqbal (depan),Mohd Zikrilah Abdullah (kanan) dan Mohammad Nordin, (belakang) mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan merompak di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2017 @ 4:27 PM