Zamli di Mahkamah Sesyen Kota Bharu.
Zamli di Mahkamah Sesyen Kota Bharu.
Muhamaad Razis Ismail


Kota Bharu: Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam terhadap tuduhan merompak dan mencabul, dua tahun lalu.

Tertuduh Zamli Mamat, 28, turut membuat pengakuan sama terhadap tuduhan merompak kereta milik guru, lima tahun lalu di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama rakannya yang sudah dijatuhkan hukuman didakwa melakukan rompakan berkumpulan terhadap wanita berusia 58 tahun dan anak perempuannya berusia 24 tahun menggunakan pisau dengan melarikan pelbagai barang termasuk wang tunai RM7,000, barang kemas dan kereta Toyota Vios.

Kesalahan dilakukan di sebuah rumah di Jalan Sultan Yahya Petra, Lundang pada jam 3.30 pagi, 18 Januari 2015.

Pada tarikh, waktu dan lokasi sama, tertuduh didakwa mencabul kehormatan wanita berusia 24 tahun itu.

Zamli turut didakwa merompak sebuah kereta Proton Iswara milik Nazilah Hasbullah, 50, di tepi jalan raya Kampung Jerus, Selising, Pasir Puteh pada jam 12.30 tengah hari, 4 November 2012.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 12 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2017 @ 4:48 AM