MOHD Azwan mengaku merompak seorang lelaki dengan pedang di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, semalam.
MOHD Azwan mengaku merompak seorang lelaki dengan pedang di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, semalam.
myMetro

Kota Bharu: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan lima sebatan di Mahkamah Sesyen di sini, semalam terhadap tuduhan merompak seorang lelaki menggunakan pedang, Januari lalu.

Hakim Nazri Ismail menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Mohd Azwan Ab Manaf, 30, mengaku bersalah terhadap pertuduhan.

Mengikut pertuduhan tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa melakukan rompakan berkumpulan dengan menggunakan pedang terhadap Lee Ming Hai, 25, dan melarikan motosika Yamaha Y125ZR, telefon bimbit, dompet dan wang tunai dengan jumlah keseluruhan RM7,000.

Kesalahan dilakukan di tepi jalan Bukit Yong, Pasir Puteh jam 11.45 malam, 31 Januari 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, ketika kejadian mangsa yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya ditahan dan diarah berhenti di tepi jalan oleh tertuduh dan rakan wanitanya.

Tertuduh merampas kunci motosikal mangsa serta mengeluarkan pedang dan meminta mangsa menyerahkan dompet bersama telefon bimbit sebelum melarikan diri dengan motosikal mangsa.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana sudah insaf dengan kesalahannya.

“Saya mohon jasa baik tuan menjatuhkan hukuman ringan kerana perlu menanggung isteri dan anak,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Wong Siew Mun memohon hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2017 @ 5:16 AM