Tertuduh dipenjara 21 tahun dan 18 sebatan di Mahkamah Sesyen terhadap tuduhan merogol kenalannya dan merompak menggunakan senjata. FOTO Muhamaad Razis Ismail
Tertuduh dipenjara 21 tahun dan 18 sebatan di Mahkamah Sesyen terhadap tuduhan merogol kenalannya dan merompak menggunakan senjata. FOTO Muhamaad Razis Ismail
Muhamaad Razis Ismail


OPERATOR kilang dipenjara 21 tahun dan 18 sebatan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini, terhadap dua tuduhan berasingan iaitu merogol kenalannya dan merompak seorang wanita menggunakan senjata dalam kejadian pada Mac dan Mei lalu.

Hakim Nazri Ismail menjatuhkan hukuman itu selepas Amierul Iqbal Muhamad, 22, mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan.

Mahkamah memerintahkan hukuman berjalan berasingan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol dan menyebabkan kecederaan di kaki kiri wanita berusia 21 tahun di kawasan semak di Kampung Padang Melintang, Bachok antara 7 hingga 10 malam, 25 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa merompak Zaiton Mat Aris, 48, menggunakan pisau mata gergasi dengan mengambil rantai leher, jam tangan, beg mengandungi permata dan dua rantai di sebuah rumah di Panji, Kota Bharu pada 5.30 petang, 19 Mac lalu.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2017 @ 3:56 PM