ABDUL Jammi (tengah) bersama  sebahagian penuntut UKM pada Majlis Pelancaran Program Budding-Puma UKM bersama PUNB, semalam.
ABDUL Jammi (tengah) bersama sebahagian penuntut UKM pada Majlis Pelancaran Program Budding-Puma UKM bersama PUNB, semalam.
Siti Fatimah Nasir


Bangi: Bagi menggalakkan lebih ramai usahawan muda menceburi bidang keusahawanan dan peruncitan, seramai 200 graduan dari pelbagai fakulti di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dipelawa mengikuti program Budding-Puma yang dianjurkan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), semalam.

Program yang baru diperkenalkan PUNB sejak dua bulan lalu memberi peluang kepada usahawan muda menceburi bidang perniagaan sambil belajar dengan menawarkan pembiayaan daripada RM1,000 hingga RM10,000 kepada golongan Bumiputera.

Pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Sastera (Sejarah) UKM, Muhamad Arif Abd Latif, 23, berkata, dia mula berkecimpung dalam bidang perniagaan minyak kelapa dara sejak Februari lalu dan mahu mengembangkan perniagaannya selepas tamat belajar kelak.

“Memang sukar untuk saya menjalankan perniagaan ketika belajar disebabkan kekurangan sokongan kewangan untuk membeli produk serta bahan membuat minyak kelapa dara ini.

“Dengan adanya bantuan yang disediakan PUNB, ia dapat memudahkan usahawan muda mendapatkan bantuan pembiayaan dalam masa singkat untuk membeli bahan serta mengembangkan perniagaan mereka pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Program Budding-Puma UKM bersama PUNB di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Pusat Pembangunan Usahawan Industri Kecil dan Sederhana (UKM-CESMED) Prof Datin Dr Shamsubaridah Ramlee serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PUNB Abdul Jammi Abdul Karim.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2017 @ 5:56 AM