JAMELAH (tengah) bersama  Dzulkifli  (kiri) dan Ketua Jabatan Komunikasi Korporat PUNB Nashita Aziz ketika sidang media Program Prospernita  di  Kuala Lumpur, semalam.
JAMELAH (tengah) bersama Dzulkifli (kiri) dan Ketua Jabatan Komunikasi Korporat PUNB Nashita Aziz ketika sidang media Program Prospernita di Kuala Lumpur, semalam.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) menyasarkan peningkatan sebanyak 50 peratus penyertaan usahawan wanita di bawah Skim
Prosper Usahawan Muda (PUMA) dan runcit menjelang 2020.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Dzulkifli Fadzilah berkata, buat masa ini hanya 37 peratus usahawan wanita menerusi PUMA dan 36 peratus di bawah Skim Prosper Runcit sejak PUNB beroperasi pada 1992.

Katanya, sejak ditubuhkan sehingga November tahun ini, PUNB juga membiayai sebanyak RM23.01 juta pembiayaan kepada 528 usahawan wanita di bawah skim PUMA dan sebanyak RM229.12 juta kepada 1,660 usahawan wanita.

“Malah, RM413.71 juta (18 peratus) pembiayaan diluluskan kepada usahawan wanita setakat November 2015, daripada RM2.3 bilion jumlah keseluruhan pembiayaan PUNB.

“Jumlah ini masih kecil dan kami menyasarkan lebih banyak pembiayaan yang akan diluluskan untuk usahawan wanita terutama dalam bidang profesional,” katanya pada sidang media Program Prospernita PUNB 2015 di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah PUNB dan Pengerusi Jawatankuasa Program Prospernita Datuk Jamelah A Bakar.

Dzulkifli berkata, bagi skim PUMA, pembiayaan bermula dari RM5,000 hingga RM100,000, manakala skim runcit pula jumlah pembiayaannya bermula daripada RM100,000 hingga RM1 juta.

Menurutnya, tahun ini PUNB memperuntukkan pembiayaan sebanyak RM300 juta dan 70 peratus daripadanya disalurkan kepada usahawan.

Sementara itu, Jamelah berkata, bagi membantu melahirkan lebih ramai usahawan wanita, PUNB memperkenalkan Program Prospernita, sekali gus menjadi acara tahunan.

“Program Prospernita akan dirasmikan pada 17 Disember ini dan ia membuka peluang kepada usahawan wanita bertukar-tukar pendapat serta mendapatkan idea melalui sesi perbincangan dan perkongsian pengalaman bersama ahli panel jemputan.

“Siri Jelajah juga akan diadakan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak bermula 2016 sebagai satu insiatif PUNB untuk meluaskan jangkauan pembabitan usahawan wanita,” katanya.

Dijangkakan seramai 400 usahawan wanita menyertai Program Prospernita di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan ia dinaung oleh Pengerusi PUNB, Tan Sri Mohd Ali Rustam. Antara jemputan ialah Pengarah Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datin Wira Dr Siti Hawa Mohd, Pengusaha Restoran Khadijah’s Kitchen Sdn Bhd, Datuk Khadijah Ibrahim, Pemilik Tarmizi Hj Suak Hardware Sdn Bhd, Nurul Maya Tarmizi dan Pengusaha Butik Mimpi Kita, Nurul Afidah Zulkifli.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2015 @ 5:51 AM