TIMBALAN Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UMK Datuk Dr Ibrahim Che Omar (tujuh dari kiri) bersama peserta Program Siri Syarahan Pengerusi, semalam.
TIMBALAN Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UMK Datuk Dr Ibrahim Che Omar (tujuh dari kiri) bersama peserta Program Siri Syarahan Pengerusi, semalam.
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Seramai 3,200 graduan seluruh negara menyertai Program Siswazah Perantis Perbadanan Usahawan Nasional berhad (PUNB) yang diperkenalkan sejak tujuh tahun lalu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PUNB Abdul Jammi Abdul Karim berkata, daripada jumlah itu, kira-kira 60 peratus pesertanya menjadi usahawan selepas setahun menjalani latihan di industri pilihan mereka.

Katanya, 215 daripada mereka yang menceburi bidang perniagaan mendapat pinjaman PUNB selepas menamatkan latihan manakala selebihnya menggunakan modal sendiri dan pembiayaan daripada pihak lain.

“Pemohon pinjaman di bawah Skim Projek Usahawan Bumiputera dalam Bidang Peruncitan (PROSPER) Usahawan Muda memenuhi syarat yang ditetapkan iaitu Bumiputera berumur tidak melebihi 30 tahun dan pemegang ijazah, diploma atau sijil kemahiran (tahap dua ke atas) dari institusi yang diiktiraf kerajaan.

“Mereka diberi pinjaman RM100,000, bergantung kepada jenis perniagaan yang diusahakan. Kami menggalakkan lebih ramai golongan muda menceburi bidang keusahawanan dan mengambil kemudahan dan peluang yang disediakan PUNB,” katanya pada sidang media selepas Program Siri Syarahan Pengerusi di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampung Kota, Pengkalan Chepa, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2017 @ 5:06 AM