DARI kiri, Dr Shamsubaridah, Dr Norizan dan Dr Maisarah pada Siri Bicara Wanita Cemerlang.
DARI kiri, Dr Shamsubaridah, Dr Norizan dan Dr Maisarah pada Siri Bicara Wanita Cemerlang.
Norhadiani Bahrom

Kuala Lumpur: Golongan wanita perlu menguasai teknologi maklumat yang dapat membantu mereka menempatkan diri dalam Revolusi Industri 4.0 (RI 4.0) memandangkan golongan itu masih ketinggalan dalam beberapa sektor pekerjaan berbanding lelaki.

Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Enterpris Kecil dan Sederhana (EKS) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM-CESMED) Profesor Datin Dr Shamsubaridah Ramlee berkata, kadar penyertaan wanita paling sedikit dalam bidang seni bina, kejuruteraan, komputer dan matematik yang pesat membangun, sekali gus menawarkan banyak peluang pekerjaan.

“Penyertaan wanita sangat rendah dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM). Sebahagian daripada kerugian pekerjaan terbesar wanita kerana mereka lebih menjurus kepada peranan di pejabat dan pentadbiran.

“Memastikan golongan ini berdaya saing dan kekal relevan dalam menghadapi perubahan dalam era dinamakan RI 4.0, wanita perlu menguasai teknologi digital dalam setiap aspek kehidupan. Salah satunya peralihan konsep perniagaan secara tradisional kepada sepenuhnya dalam talian.

“Konsep perniagaan dalam talian ini jika di praktikkan dapat membantu capaian teknologi (infrastruktur) di kawasan bandar dan luar bandar,” katanya.

Beliau membincangkan hal berkenaan menerusi Siri Bicara Wanita Cemerlang yang berlangsung di Pusat Siswazah, Bangunan Tun Fatimah Hashim, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi.

Turut berkongsi kepakaran mereka, tokoh wanita juga ahli akademik wanita UKM iaitu Pengarah Pusat Kepimpinan Wanita, Profesor Datin Dr Norizan Abdul Razak dan Timbalan Pengarah Eksekutif, Pusat Khazanah UKM, Profesor Madya Dr Maisarah Ahmad.

Sementara itu, Dr Norizan menambah, dalam menyokong RI 4.0, UKM dan Pusat Kepimpinan Wanita (PKW) merangka beberapa program antaranya memberikan latihan selain memperkenalkan kaedah pembelajaran menggunakan sistem Kursus Dalam Talian Terbuka Secara Besar-Besaran (MOOC).

“Bagi mereka yang memohon untuk mengikuti kursus ini akan diberikan latihan dan didedahkan dengan kaedah pembelajaran secara dalam talian yang boleh diaplikasikan dalam perniagaan mereka kelak.

“Pihak kami juga memperkenalkan beberapa aplikasi yang dapat memberi banyak kemudahan kepada komuniti (Smart Mamak). Selain mengadakan bengkel literasi ICT dan pemasaran produk secara atas talian kepada usahawan wanita.

“Istimewanya peserta boleh mengikuti kursus ini di rumah tanpa perlu hadir ke UKM kerana semua pengajian secara teori boleh diperoleh melalui aplikasi Smart Mamak. Melainkan cara-cara mengendalikan sistem perniagaan dalam talian dengan menggunakan komputer, itu peserta wajib hadir.

“Selain itu semua peserta yang terbabit akan diberikan sijil dan sijil ini diiktiraf oleh pihak universiti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2017 @ 5:33 AM