KETUA UMNO Bahagian Kuala Krai, Datuk Ramzi Abdul Rahman menyampaikan watikah pelantikan kepada guru KAFA, hari ini. FOTO Rohaida Omar
KETUA UMNO Bahagian Kuala Krai, Datuk Ramzi Abdul Rahman menyampaikan watikah pelantikan kepada guru KAFA, hari ini. FOTO Rohaida Omar
Rohaida Omar


KERAJAAN Persekutuan memperuntukkan lebih RM5 juta bagi Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) kepada Kuala Krai untuk tahun hadapan.

Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai, Datuk Ramzi Ab Rahman berkata, peruntukan itu diberi bagi melahirkan insan yang terdidik dalam agama Islam.

"Ia sekali gus dapat merealisasikan hasrat kerajaan untuk melahirkan insan yang terdidik dengan al-Quran dan as-Sunnah yang kuat iman serta amalan kepada Allah SWT.

"Peruntukan itu juga sebagai insentif bagi menghargai jasa guru KAFA kerana mendidik murid dengan pendidikan Islam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan kepada 420 Guru KAFA untuk sesi 2018 peringkat Daerah Kuala Krai, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar, Kuala Krai, hari ini.

Dalam majlis itu 12 guru KAFA menerima Anugerah Khidmat Cemerlang.

Hadir sama, Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Krai, Sazali Ibrahim dan Penyelia Pendidikan Islam Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Wan Mohd Tarmimin Wan Bakar.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dabong berkata, kerajaan tidak pernah meminggirkan guru KAFA apabila memberi kenaikan insentif daripada RM8 kepada RM25 bagi satu jam tahun ini.

"Dengan pelbagai insentif itu membuktikan bahawa kerajaan amat menghargai jasa guru KAFA dalam mencapai usaha dan harapan bagi melahirkan generasi celik al-Quran, tulisan jawi dan asas fardu ain bermula dari peringkat sekolah rendah hingga dewasa", katanya.

Sementara itu, Sazali berkata, kelas KAFA adalah program berkonsepkan pengukuhan asas pendidikan Islam dengan memberi penekanan kepada kemahiran membaca al-Quran dan fardu ain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Disember 2017 @ 6:52 PM