KEADAAN motosikal milik mangsa. FOTO Ihsan PDRM
KEADAAN motosikal milik mangsa. FOTO Ihsan PDRM
Hazira Ahmad Zaidi


GURU Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) maut selepas terbabit dalam kemalangan di Kampung Kenor Jalan Kuala Krai-Batu Balai, dekat Kuala Krai, hari ini.

Dalam kejadian 7.30 pagi, Hasiah Abdullah, 43, yang berasal dari Kampung Batu Balai, Kuala Krai, maut di tempat kejadian selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah Perodua Viva.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Wan Fauzi Wan Ishak berkata, Perodua Viva yang dipandu remaja lelaki berusia 23 tahun dari arah Guchil menghala ke Kampung Batu Balai bertembung dengan motosikal Yamaha LC yang ditunggang mangsa bersama anaknya, Ana Asyida Anuar, 15.

“Hasil siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai memotong sebuah kenderaan di hadapannya sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta yang dipandu remaja berkenaan.

“Akibat perlanggaran itu, Ana Asyida parah di beberapa bahagian anggota badan manakala pemandu Perodua Viva hanya mengalami cedera ringan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang maut dibawa ke Hospital Kuala Krai untuk bedah siasat, manakala dua lagi mangsa di hantar ke hospital yang sama untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai menyebabkan kematian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 4:24 PM