Kakitangan LHDN bersama kenderaan menyertai Operasi Gegar Bersepadu   di Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Duta, semalam.
Kakitangan LHDN bersama kenderaan menyertai Operasi Gegar Bersepadu di Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Duta, semalam.
Ardyhansah Amat


Kuala Lumpur: Pelapor cukai tidak tepat termasuk mereka yang gagal membayar cukai bakal dikenakan tindakan penalti maksimum 100 peratus bermula tahun depan berbanding 45 peratus tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Datuk Sabin Samitah berkata, perubahan struktur penalti yang lebih tinggi itu dilakukan bagi menangani ketidakpatuhan pembayaran cukai.

“Berdasarkan peruntukan mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967, LHDN berhak mengenakan penalti sehingga 100 peratus ke atas pembayar cukai yang gagal melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Bagaimanapun, ketika ini, hanya 45 peratus kadar penalti yang dikenakan ke atas pihak berkaitan,” katanya selepas melancarkan Operasi Gegar Bersepadu 2017, di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Dasar) LHDN Datuk Noor Azian Abdul Hamid, Pengarah LHDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Rozina Shaik Osman Merican dan Pengarah Jabatan Perisikan dan Profiling LHDN Hajam Lajah Alam.

Sehubungan itu, menurutnya, tindakan menaikkan kadar penalti itu tidak memerlukan sebarang pindaan perundangan kerana LHDN hanya melaksanakan berdasarkan peruntukan (perundangan) sedia ada.

“Ia bukan langkah drastik apatah lagi LHDN memberikan tempoh sehingga dua tahun bagi pembayar cukai berkenaan melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Malah, tindakan ini wajar selain bersikap adil terhadap mereka yang membayar cukai mengikut masa ditetapkan,” katanya.

Selain itu, Sabin berkata, pihaknya menubuhkan Cawangan Guaman Sivil yang menempatkan 200 peguam LHDN bermula 1 Mei depan.

“Ia bertujuan menyelesaikan kes perundangan membabitkan kegagalan pembayaran cukai dengan kadar lebih cepat berbanding sekarang.

“LHDN melakukan beberapa pembaharuan termasuk menempatkan 50 peratus pegawai hasil secara bergerak dan memberi kuasa kepada semua pegawai audit luar menjalankan tugas sama dengan pegawai penyiasatan.

“Melalui cara ini, saya yakin LHDN mampu mencatat sasaran kutipan cukai RM127 bilion,” katanya.

Sementara itu, LHDN memberi tempoh sehingga hujung bulan ini ke atas 20 syarikat besar dikenal pasti gagal membayar cukai dan penalti bernilai RM1.4 bilion.

Sabin berkata, syarikat yang terdiri daripada sektor telekomunikasi, perladangan, hartanah dan institusi kewangan itu dikenal pasti mengelak membayar cukai sehingga melebihi tempoh dua tahun.

“LHDN tidak berkompromi dalam mengambil tindakan tegas ke atas syarikat berkenaan sekiranya masih gagal membayar cukai itu.

“Sebanyak 30 syarikat gergasi yang dikesan mengelak membayar cukai dan penalti berjumlah RM2.2 bilion.

“Bagaimanapun, 10 daripadanya membayar cukai dan penalti yang dikenakan selepas menerima notis tunggakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2017 @ 5:54 AM