GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

KEMENTERIAN Kewangan menyasarkan kutipan cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi 2020 akan meningkat sebanyak lima peratus kepada RM155 bilion berbanding RM147 bilion pada tahun lalu.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, prestasi kutipan kasar cukai langsung negara oleh LHDN bagi 2019 adalah sebanyak RM145.078 bilion.

Menurutnya, kutipan bagi 2019 turut merekodkan peningkatan hampir enam peratus atau melebihi RM8 bilion berbanding kutipan pada tahun sebelumnya.

“Ini sekali gus telah mencipta satu lagi sejarah baharu kutipan hasil cukai langsung negara apabila mengatasi pencapaian kutipan terbaik yang direkodkan pada 2018 iaitu sekitar RM137 bilion," katanya pada sidang media selepas program Hari Bertemu Pelanggan LHDN di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Seri Dr Sabin Samitah.

Mengulas selanjutnya, Lim berkata, selain mencerminkan keberkesanan kepimpinan bersih dan pentadbiran Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT), peningkatan hasil cukai pada tahun lalu turut menunjukkan bahawa pertumbuhan ekonomi negara pada 2019 dan tahun ini masih mampan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 January 2020 @ 8:49 PM