Najib danRosmah  hadir pada Majlis Hasilian bersama Perdana Menteri sempena Hari Hasil ke-21 di Dewan Bangsawan Menara Hasil Cyberjaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Najib danRosmah hadir pada Majlis Hasilian bersama Perdana Menteri sempena Hari Hasil ke-21 di Dewan Bangsawan Menara Hasil Cyberjaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Mohd Husni Mohd Noor

Cyberjaya: Kerajaan akan melakukan apa sahaja bagi memastikan kutipan cukai dapat dilakukan secara optimum sekali gus membolehkan tempo pembangunan dan kualiti perkhidmatan kepada rakyat ditambah baik serta memuaskan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau tidak mahu ada pihak yang tidak membayar cukai atau underground economy (aktiviti ekonomi yang mengelak cukai) berleluasa sehingga menyebabkan negara kehilangan hasil begitu ketara.

Belia berkata, kelompongan itu (aktiviti mengelak cukai) dapat dikecilkan dan dihapuskan melalui kutipan cukai yang cekap selain mewujudkan elemen fear (takut) kepada pihak yang mengelak cukai.

"Tanpa hasil, kerajaan tidak mungkin dapat membangunkan negara dan mensejahterakan rakyat dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan; kesihatan; pembangunan infrastruktur dan keselamatan negara.

"Justeru, kesemua bentuk pembangunan dan kemudahan itu memerlukan hasil bagi menampung dan menyediakan perkhidmatan sebagaimana dikehendaki rakyat," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Hasilian Bersama Perdana Menteri sempena Hari Hasil ke-21 Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di sini malam tadi.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Othman Aziz; Timbalan Menteri Kewangan II Datuk Lee Chee Leong; Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Sabin Samitah.

Katanya, jika kutipan hasil menguncup dibimbangi memberi kesan amat buruk kepada negara sebagaimana yang dihadapi sebuah negara di Eropah yang berdepan masalah sehingga terpaksa meminjam duit dari negara jiran kerana keengganan rakyatnya membayar cukai selain kegagalan pihak berkuasanya mengutip cukai.

Dalam pada itu, Najib berkata, beliau merakamkan tahniah kepada LHDN kerana berjaya mencapai kutipan cukai sebanyak RM114 bilion di mana ia disumbangkan dengan baik oleh kutipan cukai individu dan syarikat.

Menurutnya, tahun ini, kerajaan meletakkan sasaran kepada LHDN untuk mencapai kutipan cukai sebanyak RM127 bilion.

Sementara itu, Sabin dalam ucapannya berkata, pihaknya yakin pemantapan strategi pengurusan dan teras percukaian yang dilaksanakan pada tahun ini membolehkan sasaran kutipan sebanyak RM127.7 bilion oleh kerajaan dapat dicapai.

Sempena Hari Hasil ke-21, sebanyak enam produk baru dilancarkan iatu Kempen Klik e-Filing; bayaran e-PCB (potongan cukai berjadual); bayaran melalui kad kredit atau debit di kaunter bayaran LHDN; e-Lejar syarikat; Hasil Info Data System (HIDS) dan e-Permohonan Pindaan Borang E (BE).

Program HASiL 4U 2017 adalah Kempen Klik e- Filing iaitu kempen penghantaran Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) secara elektronik bagi tahun taksiran 2016 atau melalui aplikasi peranti mudah alih iaitu m-Filing bagi Borang BE.

Tempoh kempen itu bermula hari ini sehingga 30 April ini bagi Borang BE (Penggajian) dan 1 hingga 30 Jun bagi borang BNCP.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2017 @ 11:16 PM