DATUK Sabin Samitah (kiri) menandatangani Alumni Tersohor di 'Wall of Frame' di Bangunan PUSANIKA, Universiti Kebangsaan Malaysia pada Program Bicara Alumni UKM. FOTO Rosela Ismail
DATUK Sabin Samitah (kiri) menandatangani Alumni Tersohor di 'Wall of Frame' di Bangunan PUSANIKA, Universiti Kebangsaan Malaysia pada Program Bicara Alumni UKM. FOTO Rosela Ismail
Mohd Nasif Badruddin


KECUAIAN majikan atau pekerja membuat pengisytiharan cukai pendapatan tahunan menyebabkan mereka yang mengambil skim pemberhentian sukarela (VSS) terpaksa menolak cukai tertunggak sebelum menerima pampasan penuh.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Datuk Sabin Samitah berkata, pihaknya tidak bersifat 'cekik darah' atau mengorek fail lama terhadap individu yang mengambil VSS atau skim lain seperti itu kerana setiap pekerja diwajibkan mengisytiharkan cukai pendapatan tahunan mereka seperti termaktub mengikut undang-undang.

Bagaimanapun katanya, ada pekerja yang terlepas pandang atau gagal mengisytiharkan cukai pendapatan pada tahun tertentu sepanjang tempoh mereka bertugas.

Beliau berkata, pihaknya perlu membuat semakan terhadap mereka yang mengambil VSS sebelum menutup akaun cukai pendapatan mereka termasuk menyiasat kes tertunggak tahun terdahulu.

"Kita tidak boleh menutup akaun cukai pendapatan selagi mereka ada baki cukai tertunggak atau tanggungan yang belum dijelaskan.

"Setiap pampasan daripada VSS memang akan dikenakan cukai mengikut kiraan ditetapkan.

"Kecuali ada kes tertentu seperti pemberhentian atas sebab kesihatan dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas menjayakan program Bicara Alumni Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di universiti itu di Bangi, hari ini.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UKM Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal.

Sementara itu, Sabin berkata, LHDN menyasarkan kutipan cukai langsung RM127 bilion tahun ini berbanding RM113.945 bilion tahun lalu.

Katanya, pihaknya optimis mampu mencapai sasaran peningkatan 2.76 peratus itu berdasarkan kutipan RM86.527 bilion setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2017 @ 9:52 PM