LEE  dipenjara empat bulan dan denda RM20,000  atas dua tuduhan menawar dan memberi rasuah kepada pegawai imigresen.
LEE dipenjara empat bulan dan denda RM20,000 atas dua tuduhan menawar dan memberi rasuah kepada pegawai imigresen.
HM Digital

Ipoh: Seorang warga emas dihukum penjara empat bulan dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen, semalam selepas mengaku salah atas dua tuduhan menawar dan memberi rasuah kepada pegawai imigresen, Ogos tahun lalu.

Hakim S Indera Nehru turut memerintahkan tertuduh, Lee Kee Heong, 63, dipenjara dua minggu jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Kee Heong didakwa menawarkan rasuah bernilai RM2,000 kepada Penolong Pegawai Imigresen Abdul Majid Mohamed sebagai dorongan untuk melepaskan Qaiser Iftikhar kerana melakukan kesalahan berada di Malaysia selepas tamat tempoh pas lawatan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu melalui panggilan telefon di Bandar Baru Klebang jam 6.07 petang 17 Ogos 2016.

Kee Heong juga didakwa memberikan rasuah RM1,000 kepada pegawai sama di Restoran McDonald’s di Bandar Meru Raya, dekat sini, pada jam 6.30 petang keesokan harinya.

Kedua-dua tuduhan mengikut Seksyen 17(b), Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 1959/63 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1), akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Indera Nehru memerintahkan Kee Heong dipenjara dua bulan bagi setiap kesalahan dari tarikh dia ditangkap pada 15 September lalu dan denda RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan kedua-dua hukuman penjara berjalan serentak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2017 @ 9:22 AM