ABD Rahman diiringi keluar dari Mahkamah Sesyen Kota Bharu, semalam.
ABD Rahman diiringi keluar dari Mahkamah Sesyen Kota Bharu, semalam.
Oleh Muhamaad Razis Ismail

Kota Bharu: Akibat memberi rasuah RM100 kepada anggota polis bagi melepaskan warga Myanmar yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah, seorang pemandu bot penambang dijatuhi hukuman penjara dua minggu dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Hakim Adli Abd Ghalib menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Abd Rahman Zakaria, 43, mengaku salah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara sebulan jika gagal menjelaskan denda.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memberi suapan RM100 kepada Koperal Mohd Yatim Ariffin sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap warga Myanmar itu yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Tertuduh melakukan perbuatan itu di Pangkalan Azizah, Rantau Panjang jam 7 pagi, 27 Jun lalu.

Abd Rahman didakwa mengikut Seksyen 17(b), Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 (Akta 694) yang dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana perlu menyara keluarga.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Shahidah Muslimah Roslan memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2015 @ 9:07 AM