LEE menukar pengakuan kepada tidak bersalah dan minta dibicarakan. FOTO Muhaizan Yahya
LEE menukar pengakuan kepada tidak bersalah dan minta dibicarakan. FOTO Muhaizan Yahya
Muhammad Apendy Issahak


WARGA emas yang terpaksa dikejarkan ke hospital semalam selepas Hakim Mahkamah Sesyen Ipoh mendapati kaki kanannya luka teruk akibat diabetes menukar pengakuan kepada tidak bersalah hari ini.

Mahkamah dijadualkan membuat keputusan hukuman terhadap Lee Kee Heong, 63, hari ini selepas tertuduh mengaku bersalah semalam ketika sebutan semula kes.

Ia membabitkan dakwaan menawarkan dan memberi rasuah berjumlah keseluruhan RM3,000 pada 17 dan 18 Ogos 2016 kepada Penolong Penguasa Imigresen Perak Abdul Majid Mohamed bagi melepaskan warga Pakistan, Qaiser Iftikhar yang ditahan atas kesalahan tamat tempoh pas.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) R Kumuthambala.

Kes terpaksa ditangguhkan semalam bagi membolehkan tertuduh mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh selepas Hakim S Indra Nehru mengarahkan tertuduh segera dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.

Menurutnya, pihaknya tidak boleh menjatuhkan hukuman dalam keadaan tertuduh yang kesakitan.

Polis yang bertugas di mahkamah kemudian menghantar tertuduh ke HRPB untuk rawatan dan kemudian dilihat kembali bersama tertuduh ke mahkamah pada 3 petang.

Sebaik mahkamah bersambung, peguam yang baru dilantik keluarga tertuduh, Chiang Mei Wan meminta hakim menangguhkan keputusan hukuman terhadap tertuduh dan memaklumkan adik kandung Lee ingin hadir ke mahkamah hari ini untuk mendengar keputusan hukuman tertuduh.

Lee bagaimanapun pada hari ini menukar pengakuannya dan minta dibicarakan.

Indra Nehru kemudian mengenakan jaminan sebanyak RM24,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua tuduhan yang dihadapi Lee dan menetapkan 23 Oktober ini bagi sebutan semula kes.

Lee didakwa dengan dua pertuduhan menawarkan rasuah sebanyak RM2,000 kepada Abdul Majid melalui panggilan telefon pada 6.07 petang 17 Ogos 2017 di Bandar Baru Seri Klebang, Ipoh.

Tertuduh juga didakwa memberi suapan sebanyak RM1,000 kepada pegawai Imigresen sama pada 18 Ogos 2016 di McDonald Meru Raya Ipoh pada 6.30 petang.

Berita berkaitan

Kencing manis punya hal

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2017 @ 12:18 PM