Lee kembali ke mahkamah selepas menjalani rawatan di HRPB Ipoh. FOTO Muhammad Apendy Issahak
Lee kembali ke mahkamah selepas menjalani rawatan di HRPB Ipoh. FOTO Muhammad Apendy Issahak
Muhammad Apendy Issahak

Warga emas terpaksa dikejarkan ke hospital selepas Hakim Mahkamah Sesyen Ipoh mendapati kaki kanan tertuduh mengalami luka teruk akibat diabetes.

Keadaan itu menyebabkan prosiding sebutan semula kes rasuah Lee Kee Heong, 63, terpaksa ditangguhkan sebentar bagi membolehkan tertuduh mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh kira-kira 11.30 pagi, hari ini.

Lee hadir ke mahkamah bagi sebutan semula kesnya membabitkan kes menawarkan dan memberi rasuah berjumlah keseluruhan RM3,000 pada 17 dan 18 Ogos 2016 kepada Penolong Penguasa Imigresen Perak Abdul Majid Mohamed bagi melepaskan warga Pakistan, Qaiser Iftikhar yang ditahan atas kesalahan tamat tempoh pas.

Tertuduh bagaimanapun mengaku bersalah sebaik kesnya disebut semula oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) R Kumuthambala, namun Lee mengadu kesakitan akibat luka di kaki kanannya.

Keadaan itu membuatkan Hakim S Indra Nehru turun dari tempatnya ke kandang pesalah untuk memeriksa sendiri keadaan kaki tertuduh.

Sebaik melihat keadaan luka Lee yang teruk, Indra Nehru mengarahkan tertuduh segera dihantar ke hospital untuk menerima rawatan dan menurutnya, pihaknya tidak boleh menjatuhkan hukuman dalam keadaan tertuduh yang kesakitan.

Ketika mahkamah ditangguhkan, tertuduh sempat bercerita kepada media mengenai lukanya. Dia mengalami luka itu ketika ditahan di Penjara Taiping selepas didakwa pada 15 September lalu.

Katanya, kaki kanannya luka kerana terpaksa berkaki ayam dalam penjara susulan seliparnya hilang dipercayai dicuri dan pihak penjara ada menghantarnya ke hospital untuk rawatan namun luka semakin teruk akibat penyakit kencing manis.

Polis yang bertugas di mahkamah kemudian menghantar tertuduh ke HRPB untuk rawatan dan kemudian dilihat kembali bersama tertuduh ke mahkamah kira-kira 3 petang.

Mahkamah bersambung 3.15 petang dan pada masa sama, peguam Chiang Mei Wan yang dilantik oleh adik kandung Lee turut hadir bagi sebutan semula kes berkenaan.

Chiang meminta hakim menangguhkan keputusan hukuman terhadap tertuduh dan memaklumkan adik kandung Lee ingin hadir ke mahkamah esok untuk mendengar keputusan hukuman tertuduh.

Pihak pendakwaan tidak membantah permohonan itu dan Indra Nehru membenarkan kes ditangguhkan untuk fakta hukuman 9 pagi esok.

Berdasarkan fakta kes, Lee mengaku bersalah terhadap pertuduhan menawarkan rasuah sebanyak RM2,000 kepada Abdul Majid melalui panggilan telefon pada 6.07 petang 17 Ogos 2017 di Bandar Baru Seri Klebang, Ipoh.

Tertuduh juga mengaku bersalah memberi suapan sebanyak RM1,000 kepada pegawai Imigresen sama pada keesokan harinya di McDonald Meru Raya Ipoh pada 6.30 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2017 @ 5:31 PM