SALMI meriba bayinya Az Zahra Azizan berusia 22 hari, sambil dilihat oleh jirannya Arinianti Abg Rahman, 52, dan Zubedah Ahman, 50, di Pusat Penempatan Banjir Kampung Lebai Ali, Bedong, Sungai Petani. FOTO Syahid Sokri
SALMI meriba bayinya Az Zahra Azizan berusia 22 hari, sambil dilihat oleh jirannya Arinianti Abg Rahman, 52, dan Zubedah Ahman, 50, di Pusat Penempatan Banjir Kampung Lebai Ali, Bedong, Sungai Petani. FOTO Syahid Sokri
Syahid Sokri


WANITA berpantang menempuh detik cemas apabila terpaksa meranduk banjir paras pinggang sambil mendukung bayinya berusia 22 hari selepas rumahnya di Taman Sinar Mentari Fasa B, Bedong, Sungai Petani, dilanda banjir kilat malam semalam.

Dalam kejadian 9.30 malam, Salmi Yusuf, 39, terpaksa meredah banjir tanpa sempat membawa barang berharga kerana bimbang keselamatan bayinya disebabkan paras air naik terlalu cepat.

"Walaupun berpantang, saya nekad meranduk banjir bersama suami dan anak-anak lain untuk keluar rumah dan menunggu bantuan tiba.

"Saya hanya risaukan keselamatan dan kesihatan anak kecil yang terkena hujan lebat dalam usaha pergi ke lokasi lebih selamat dan kami kini dalam keadaan serba kekurangan.

"Kami tidak makan dan minum sejak semalam dan saya bimbang tidak dapat menyusukan anak yang bergantung pada susu badan," katanya ketika ditemui di Pusat Penempatan Banjir Kampung Lebai Ali, di Bedong, hari ini.

Menurutnya, dia bersyukur apabila bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat tiba pagi tadi dan dapat menggantikan pakaian basah yang dipakai sejak semalam serta menerima selimut dan pelapik tidur untuk digunakan ketika menyusukan anaknya.

"Ini pengalaman pertama saya berdepan musibah banjir dan kami tidak sempat membuat persediaan terutamanya lampin pakai buang yang hanya mampu bertahan hari ini saja.

"Ketika kejadian, ahli keluarga lain sedang menunggu di hadapan televisyen untuk menonton perlawanan akhir Piala Malaysia tanpa menyedari air naik dan melimpah ke dalam rumah kurang dari setengah jam.

"Dalam keadaan begini, kami tersepit kerana tidak dapat ke mana-mana, malah kenderaan tidak pasti sama ada masih boleh digunakan atau perlu dibaiki terlebih dahulu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2017 @ 8:15 PM