SHABALLAH (Kiri) menunjukkan pek makanan yang disediakan untuk mangsa banjir di Changlun. FOTO Zuliaty Zulkiffli
SHABALLAH (Kiri) menunjukkan pek makanan yang disediakan untuk mangsa banjir di Changlun. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Changlun: Barangan keperluan asas makanan untuk mangsa banjir di empat negeri setakat ini amat mencukupi.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah Shaballah Zainal Abidin berkata, semua barangan terbabit yang disimpan di Depoh Simpanan Makanan Mangsa Banjir di Bedong, Sungai Petani sudah penuh dan menunggu masa untuk dihantar ke PPS yang dibuka akibat banjir.

Beliau berkata, sebenarnya barangan keperluan di depoh itu untuk menampung semua negeri di utara termasuk Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak Utara.

"Namun kita bimbang berlaku banjir serentak di semua negeri berkenaan tapi memang kita buat persediaan.

"Cuma kita takut jika terputus hubungan jalan raya namun kita sentiasa berhubung dengan negeri lain dan menyampaikan maklumat," katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Kampung Tradisi, hari ini.

Shaballah berkata, setakat ini dua PPS dibuka di daerah ini iaitu PPS Dewan Kampung Tradisi dan PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun yang menempatkan keseluruhan di dua PPS itu seramai 174 mangsa daripada 50 keluarga.

Beliau berkata, sekiranya ada keperluan berikutan paras air yang semakin meningkat, berkemungkinan PPS baru akan dibuka.

"Saya menyeru mangsa yang masih berada di rumah supaya keluar segera bagi mengelakkan keadaan lebih buruk jika paras air semakin ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2023 @ 9:18 PM