MANGSA banjir, Nur Aishah Iman Harold Ng Lip Singh memangku anak sulungnya, Muhammad Syafiq Syuhaimi Muhammad Shafie yang baru berusia 21 hari di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Changkat Jong, Teluk Intan. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
MANGSA banjir, Nur Aishah Iman Harold Ng Lip Singh memangku anak sulungnya, Muhammad Syafiq Syuhaimi Muhammad Shafie yang baru berusia 21 hari di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Changkat Jong, Teluk Intan. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


“SAYA terpaksa meranduk banjir setinggi paras peha walaupun masih dalam pantang dan berjalan perlahan kerana bimbang tergelincir,” kata Nur Aishah Iman Harold Ng Lip Singh.

Nur Aishah Iman, 22, yang baru 21 hari melahirkan anak sulungnya, Muhammad Syafiq Syuhaimi Muhammad Shafie adalah antara 100 mangsa dari 25 keluarga yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Changkat Jong di Teluk Intan, sejak Jumaat lalu.

Antara kampung yang terbabit banjir adalah Kampung Batu 7 1/2, Batu 8 dan Batu 9 di Changkat Jong dan tinjauan di beberapa rumah penduduk mendapati air kawasan rumah sudah mula surut serta sebahagian penduduk juga sudah pulang ke rumah masing-masing pagi tadi.

Sehingga tengah hari ini, seramai 65 mangsa dari 16 keluarga masih ditempatkan di PPS berkenaan manakala yang lain sudah pulang untuk membersihkan rumah masing-masing.

Menurut Nur Aishah Iman, dia dan suami, Muhammad Shafie Zulkifli, 19, yang menumpang di rumah ibu mentuanya berpindah ke pusat pemindahan pada petang raya kedua selepas rumah mereka dimasuki air.

Katanya, rumah mentuanya terjejas teruk kerana berada di kawasan lebih rendah mengakibatkan paras air naik lebih cepat, namun lambat surut berbanding kawasan rumah penduduk lain.

“Air di halaman rumah sudah setinggi paras peha dewasa dan bahagian dalam pula sudah mencecah betis sebab itu kami sekeluarga berpindah kerana bimbang keselamatan diri terutama bayi yang baru berusia 21 hari.

“Saya berjalan perlahan, bimbang juga jika tergelincir kerana jalan agak licin sementara suami pula membawa bayi kami bersama,” katanya ketika ditemui di PPS berkenaan, hari ini.

Katanya, sejak mula berpindah ke pusat pemindahan itu dia sudah tidak bertungku dan mandi air panas kerana tiada dapur, malah setiap hari suaminya akan berulang ke rumah datuk mereka untuk memasak makanan pantang.

“Berpantang di sini tak sama seperti di rumah dan sudah tiga hari saya tak bertungku kerana tiada dapur untuk memanaskannya tapi setakat ini keadaan saya masih baik.

“Pergerakan juga agak terbatas, malah suasana terbuka dan ramai orang membuatkan saya agak malu untuk menyusukan anak tetapi nasib baik anak kami tak meragam,” katanya.

Seorang lagi mangsa banjir, Rashidah Darus, 31, berkata, dia dan suami bersama enam anak mereka berpindah ke pusat pemindahan itu pada petang raya keempat selepas rumah mereka di Lorong Mesra, Batu 7 di Teluk Intan, dinaiki air dan terjejas teruk.

“Ini bukan tahun pertama kami beraya di pusat pemindahan dan tahun ini air sudah mula naik di halaman rumah sejak malam raya lagi.

“Kami memang sudah ramal yang akan banjir hinggakan tiada ‘mood’ raya, malah kami tak pakai pun baju raya dan kuih raya pun tak berusik lagi kerana belum ada sesiapa yang datang beraya sebab halaman rumah dipenuhi air,” katanya.

Katanya, rumahnya dan lima lagi rumah adik beradik serta ibu bapanya berada di hujung kampung dan sering dilanda banjir setiap tahun apabila hujan lebat berterusan.

“Setakat ini air belum surut lagi dan risau juga jika lambat lagi air nak surut kerana Selasa ini sudah mula bersekolah jadi harapnya air dapat surut cepat.

“Selalunya kami akan menunggu seminggu selepas air surut untuk kemas rumah kerana bimbang dalam masa itu air akan naik semula seperti tahun sebelum ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Jun 2019 @ 1:50 PM