Dua bot nelayan yang ditahan APMM. FOTO ihsan APMM
Dua bot nelayan yang ditahan APMM. FOTO ihsan APMM
Zaid Salim

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 9 Terengganu menahan dua bot nelayan Vietnam kira-kira 37 dan 45 batu nautika dari Kuala Terengganu, hari ini.

Bot dinaiki 15 tekong dan awak-awak berusia antara 21 hingga 40 tahun terbabit ditahan berasingan ketika menangkap ikan secara tunda ganding.

Pengarah Maritim DM 9, Kepten Maritim Rahim Ramli berkata, sebaik menyedari kehadiran kapal peronda APMM, kedua-dua bot terbabit segera memotong tali pukat dan melarikan diri sebelum ditahan kira-kira lapan batu nautika dari lokasi mereka menangkap ikan.

"Bot pertama menggunakan nombor pendaftaran PAF 4112 dinaiki 10 awak-awak serta tekong ditahan 11.50 pagi manakala bot kedua nombor pendaftaran PAF 4189 dinaiki lima awak-awak dan tekong ditahan pada 12.44 tengah hari.

"Hasil pemeriksaan kita menemui sebanyak 1,500 kilogram (kg) ikan baja, 2,000 kg ikan campur dan 27,000 liter diesel dengan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM2.4 juta termasuk peralatan menangkap ikan serta bot," katanya

Rahim berkata, pihaknya tidak menolak dua bot terbabit adalah bot klon kerana menggunakan dokumen dan lesen bot tempatan yang diragui.

Katanya, penggunaan dokumen dan lesen bot tempatan adalah taktik baru digunakan nelayan asing terutama dari Vietnam bertujuan mengaburi pihak berkuasa.

"Kedua-dua bot terbabit tidak memiliki sebarang lesen dan permit yang sah untuk menangkap ikan di perairan Malaysia dan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Perikanan 1985," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 11:50 PM