Nor Azura Abdul Jalil

JURUWANG sebuah kedai menjual peralatan sukan menangis apabila didenda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas pertuduhan mengeluar dan menggunakan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) milik seorang pelanggannya, awal bulan ini.

Hakim Syed Faisal Syed Amir menjatuhkan hukuman itu terhadap Zuraidah Abdullah, 31, selepas tertuduh mengaku bersalah sebaik saja pertuduhan dibacakan kepadanya.

Wanita itu turut berdepan hukuman penjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda.

Tertuduh didakwa memiliki kad ATM milik suri rumah berusia 40 tahun dan mengeluarkan RM10,000 daripada mesin ATM berlainan sebelum menggunakan RM184 di kedai tempat kerjanya dengan niat mengakibatkan kerugian kepada mangsa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kedai menjual peralatan sukan di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pada 6 petang, 1 Oktober lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah memberikan hukuman denda yang rendah atas alasan tidak bekerja dan hanya bergantung pada suami untuk menyara dirinya dan dua anak.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Amira Sariaty Zainal memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius.

"Dalam kes ini, mangsa adalah pelanggan di kedai tertuduh bekerja.

“Sepatutnya sebagai juruwang, tertuduh perlu amanah dan bertanggungjawab memulangkan kad ATM milik pelanggan selepas selesai transaksi, namun tertuduh mengambil kesempatan dengan mengambil kad ATM itu untuk membuat pengeluaran wang.

"Malah, tertuduh juga menggunakan RM184 untuk membeli kasut di kedai tempat dia bekerja itu ," katanya.

Berdasarkan fakta kes, selepas mangsa membuat pembayaran barangan menggunakan kad debit, dia terus beredar dan tertinggal kad itu di kaunter pembayaran sebelum menyedarinya pada keesokkan hari lalu membuat semakan dan mendapati terdapat pengeluaran wang sebanyak RM10,184.

Hasil pemeriksaan pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kedai itu dan bank mendapati tertuduh mengambil kad ATM milik mangsa dan membuat pengeluaran wang tunai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2017 @ 1:46 PM