Minyak masak yang dirampas AKSEM susulan penahanan dua lelaki di Tasik Meranti, Wang Kelian, Padang Besar. FOTO ihsan AKSEM Perlis
Minyak masak yang dirampas AKSEM susulan penahanan dua lelaki di Tasik Meranti, Wang Kelian, Padang Besar. FOTO ihsan AKSEM Perlis
Muhammad Mustakim Ramli


CUBAAN dua beranak warga Thailand menyeludup 1,234 pek minyak masak satu kilogram (kg) ke negara jiran di Tasik Meranti, Wang Kelian, Padang Besar gagal apabila mereka ditahan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM), malam kelmarin.

Anak dan bapa berusia 35 dan 57 tahun itu ditahan secara berasingan di lokasi sama masing-masing pada 10.15 malam dan 11.15 malam.

Komander AKSEM Perlis, Deputi Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, tangkapan pertama membabitkan si anak.

“Pemeriksaan pada Proton Saga dipandu suspek menjumpai 574 kg minyak masak.

“œKita menahan kereta dipandu suspek selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan sebelum mendapati terdapat beberapa bungkusan berisi minyak masak di tempat duduk belakang.

“Pemeriksaan lanjut di tempat penyimpanan barangan juga menemui beberapa bungkusan berisi minyak masak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Syed Basri berkata, sejam kemudian, di lokasi sama, pihaknya menahan lelaki berusia 57 tahun selepas mendapati van yang dipandunya dipenuhi puluhan kotak yang mencurigakan.

“Pemeriksaan mendapati kotak itu berisi 660 kg minyak masak dan 400 kg tepung gandum,” katanya.

Beliau berkata, nilai rampasan minyak masak suspek pertama adalah RM1,435, manakala suspek kedua adalah RM1,700 bagi minyak masak dan RM540 bagi tepung gandum.

“Kedua-dua kenderaan yang digunakan suspek dirampas dan semua minyak masak serta tepung gandum diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perlis untuk tindakan selanjutnya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 15 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 6:49 PM