Syed Basri (tengah) dan Komander AKSEM Chuping Asisten Superintendan Azizan Saman (dua dari kanan) menunjukkan rokok dan arak yang dirampas. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Syed Basri (tengah) dan Komander AKSEM Chuping Asisten Superintendan Azizan Saman (dua dari kanan) menunjukkan rokok dan arak yang dirampas. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


Padang Besar: Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) menahan dua lelaki tempatan serta merampas 406 karton rokok dan 54 botol arak seludup bernilai lebih RM60,000 di kawasan perindustrian di Kampung Kolam, di sini, semalam.

Komander AKSEM Perlis Deputi Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, pihaknya menahan Honda Accord dinaiki suspek pada 6.45 petang selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, terdahulu pihaknya menerima maklumat kegiatan menyeludup di sempadan Malaysia-Thailand sebelum menahan kereta menggunakan nombor pendaftaran Thailand dinaiki oleh dua lelaki berusia 30 dan 35 tahun.

“Suspek memberi kerjasama ketika ditahan dan pemeriksaan menemui beberapa bungkusan plastik berwarna hitam berisi rokok dan sembilan kotak berisi arak di tempat duduk belakang serta di but kereta,” katanya katanya pada sidang media di pejabat AKSEM Chuping, di sini, hari ini.

Syed Basri berkata, hasil pemeriksaan lanjut, pihaknya menemui 406 karton rokok jenama Mevius, Marlboro Light dan Marlboro serta 54 botol arak dipercayai diseludup.

Beliau berkata, kedua-dua suspek ditahan mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967 atas kesalahan mengangkut barangan larangan atau belum lulus kastam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2017 @ 6:08 PM