Anggota Penguat kuasa KPDNKK Perlis memeriksa minyak masak yang dirampas. FOTO Hafizudin Mohd Safar
Anggota Penguat kuasa KPDNKK Perlis memeriksa minyak masak yang dirampas. FOTO Hafizudin Mohd Safar
Hafizudin Mohd Safar


AGENSI Kawalan Sempadan (AKSEM) Perlis merampas hampir dua tan minyak masak serta 240 kilogram tepung gandum yang cuba diseludup ke Thailand menggunakan empat kenderaan di Pos Pemeriksaan AKSEM Wang Kelian, Kangar, petang semalam.

Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perlis, Jamal Nor Ahmad Harun berkata, pihak AKSEM menahan tiga warga Thailand dan seorang tempatan berusia antara 30 hingga 40 tahun yang memandu lori dan tiga kenderaan pikup.

"Ketika pemeriksaan dilakukan, sejumlah 1,700 kilogram minyak masak dalam bungkusan satu kilogram ditemui di ruang barangan lori terbabit dianggarkan bernilai RM4,250 mengikut harga pasaran.

"Sementara itu, 240 kilogram tepung gandum, pek minyak masak 254 kilogram dan 36 liter minyak masak dalam botol ditemui di dalam tiga kenderaan pikup," katanya ditemui hari ini.

Menurut Jamal, semua pemandu kenderaan dibebaskan dengan jaminan selepas percakapan mereka dirakamkan dan kes disiasat mengikut Seksyen 22 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta selain penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

"Siasatan awal kita mendapati bekalan minyak masak dan tepung gandum bukan daripada pembekal tempatan dan dipercayai ingin dibawa ke negara jiran.

"Keempat-empat lelaki terbabit berkemungkinan bukanlah suatu sindiket dan dilakukan secara persendirian kerana terdapat permintaan," katanya.

Beliau berkata, jumlah rampasan termasuk kenderaan dianggarkan berjumlah RM165,584 disita oleh pihak KPDNKK sementara menunggu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2018 @ 4:29 PM