GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nursyahirah Marzuki
am@hmetro.com.my


KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan melaksanakan program Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) Sehari @ Prasekolah secara serentak di seluruh negara, Isnin ini.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Dasar) KPM Datuk Sulaiman Wak berkata, ia akan membabitkan lebih 200,000 murid prasekolah kementerian, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).

Menurutnya, program itu adalah satu daripada usaha kementerian bagi memberi pendedahan kepada murid prasekolah untuk mengelakkan diri mereka menjadi mangsa jenayah seksual.

"Jenayah seksual terhadap kanak-kanak semakin meningkat dan menurut sumber dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) kes ini berada pada tahap yang membimbangkan.

"Lebih membimbangkan apabila pelaku terdiri daripada golongan dewasa yang dikenali oleh kanak-kanak," katanya pada sidang media di KPM di Putrajaya, hari ini.

Katanya, melalui program itu, murid akan didedahkan mengenai jenis sentuhan tidak selamat dan tidak selesa yang dapat membantu mereka mengenal pasti keadaan, seterusnya melaporkan kepada ibu bapa atau guru.

"Mereka akan mengikuti aktiviti pengajaran dan pembelajaran, kandungan kurikulum dan bahan bantu mengajar dalam sesi pembelajaran.

"Sebelum tamat sesi pembelajaran, guru akan menyerahkan brosur berkaitan PEERS kepada murid untuk dibawa pulang dan diserahkan kepada ibu bapa sebagai rujukan," katanya.

Menurutnya, kandungan brosur itu merangkumi maklumat mengenai penderaan seksual kanak-kanak, tanda penderaan seksual, tip perlindungan jenayah seksual dan peranan ibu bapa sekiranya anak mereka menghadapi risiko jenayah seksual.

"Selain itu, mana-mana tadika swasta yang berminat untuk melaksanakan program ini boleh memuat turun dokumen terbabit di portal Bahagian Pembangunan Kurikulum, KPM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2017 @ 4:35 PM