PENDERAAN seksual terhadap kanak-kanak perlu diperjelaskan sedari awal.
PENDERAAN seksual terhadap kanak-kanak perlu diperjelaskan sedari awal.
Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


Kuala Lumpur: Jika dulu ibu bapa amat bimbang dengan kejadian cabul dan rogol menimpa anak gadis mereka yang sudah dewasa mahupun meningkat remaja, namun kini perkara itu bukan sesuatu yang mengejutkan kerana jenayah seksual ke atas kanak-kanak kini lebih menakutkan masyarakat.

Biarpun penderaan seksual ke atas kanak-kanak tidak dikategorikan mampu memberi ancaman kepada keselamatan negara, namun jenayah seperti itu meninggalkan kesan emosi yang mendalam kepada mangsa dan keluarganya.

Generasi muda adalah aset kepada sesebuah negara dan ia harus dilindungi daripada pelbagai masalah sosial dan jenayah terutama jenayah seksual kerana mereka bukan saja golongan yang lemah bahkan tidak mempunyai pemikiran yang cukup matang untuk menangani situasi seperti itu.

Sebagai sebuah negara yang menuju ke arah kemajuan Malaysia perlu memperkemas dan memantapkan undang-undang serta akta bagi melindungi kanak-kanak dan remaja.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini menyatakan sebarang bentuk penderaan seksual dan aktiviti berunsur seksual dilakukan ke atas kanak-kanak di Malaysia perlu ditangani segera dan tindakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada akan diambil.

Katanya, penderaan seksual kanak-kanak berlaku apabila mangsa digunakan untuk mencapai kepuasan seks termasuk merangsang melakukan perbuatan lucah secara melampau.

“Semua jenis hubungan seks termasuk seks oral, seks faraj dan seks dubur, mencabul kehormatan (sentuhan payudara, kemaluan), mengeluarkan kata-kata lucah kepada kanak-kanak dan eksploitasi seks oleh mana-mana orang bagi tujuan memuaskan nafsu seks orang itu atau orang lain dianggap jenayah seksual ke atas kanak-kanak,” katanya.

Menjadi ibu bapa pada zaman ini kebimbangan terhadap aktiviti anak perlu dipertingkatkan kerana pendedahan kanak-kanak kepada dunia Internet yang tidak ditapis boleh mendorong mereka menjadi mangsa jenayah seksual.

Tontonan video pornografi di Internet mahupun gambar berunsur seks boleh menyebabkan mereka terdedah kepada gejala sosial seterusnya membuatkan mereka mencuba perkara berkenaan.

Menurut laporan The Crimes Against Children Research Center, pornografi kanak-kanak boleh didefinisikan sebagai visual berunsur perlakuan seksual seperti hubungan seks, beastiality (seks dengan haiwan) dan masturbasi, selain daripada pendedahan bahagian sulit bagi tujuan merangsang nafsu seks.

Kaedah utama pornografi kanak-kanak diedarkan dan diakses di Internet adalah melalui ruangan chat, laman sosial, laman web, video streaming, e-mel dan kamera video.

Oleh itu, tidak cukup setakat pendidikan mengenai seks diberikan ke atas kanak-kanak untuk mengetahui jenis jenayah seksual yang boleh menyerang mereka sebaliknya pemerkasaan undang-undang juga perlu seiring bagi memastikan ia dapat dibanteras habis-habisan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2016 @ 5:02 AM