Dr Toh Chin Lee Presiden Persatuan Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja Malaysia (MYCAPS)

Penderaan kanak-kanak berlaku dengan meluas dan kurang mendapat perhatian yang sepatutnya. Setiap hari, keselamatan dan kesejahteraan sebahagian kanak-kanak di seluruh negara terancam dengan pelbagai perilaku yang tidak berperikemanusiaan oleh golongan sepatutnya melindungi mereka.

Walaupun setiap masyarakat dan budaya mempunyai pandangan yang berbeza mengenai cara mendidik dan membesarkan anak, namun kesedaran dan penerimaan masyarakat terhadap penderaan kanak-kanak masih kurang.

Berikutan pendedahan Richard Huckle sebagai pedofilia di Malaysia (pedofilia ialah mereka yang mempunyai fantasi, rangsangan atau tingkah laku yang membabitkan aktiviti seksual dengan kanak-kanak), media membuat liputan secara meluas mengenai penderaan seksual kanak-kanak dan apabila ini berlaku, ia akan menjadi perhatian dan diperkatakan oleh semua.

Sedihnya, apabila isu ini tidak lagi ‘panas’, segalanya kembali seperti sedia kala. Namun, menjadi tanggungjawab semua lapisan masyarakat dan kerjasama semua pihak untuk sama-sama berusaha membanteras perbuatan keji ini.

Lanjutan pendedahan kes Richard Huckle, muncul banyak gesaan untuk undang-undang yang lebih ketat bagi melindungi anak kita.

Bagaimanapun, realitinya:

1. Penderaan kanak-kanak berlaku dalam pelbagai bentuk iaitu penderaan fizikal, seksual dan emosi. Pengabaian kanak-kanak juga satu bentuk penderaan.

2. Undang-undang dan program untuk melindungi kanak-kanak sudah lama wujud di Malaysia.

Masyarakat mempunyai peranan untuk melindungi semua kanak-kanak. Pencegahan dan intervensi yang efektif terhadap perilaku kejam ini bukan terletak di bahu satu agensi atau kumpulan profesional saja.

Sikap yang prihatin, sentiasa berwaspada dan kesedaran semua lapisan masyarakat menjadi tanggung jawab kita bersama.

Cara melindungi kanak-kanak:

1. Sesiapa saja boleh mendera atau melakukan jenayah seksual terhadap kanak-kanak. Pesalah laku seksual membabitkan kanak-kanak boleh terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat - tidak kira usia, bangsa, pendidikan, latar belakang sosioekonomi atau keluarga. Kebanyakan pedofilia ialah lelaki tetapi pelaku wanita turut dilaporkan. Kanak-kanak wajib dilindungi oleh ibu bapa dan orang dewasa bertanggungjawab ke atas mereka.

2. Organisasi atau NGO yang mengendalikan rumah perlindungan kanak-kanak perlu memastikan keselamatan dan perlindungan kanak-kanak di bawah jagaan mereka dengan melakukan pemantauan yang baik.

Pemeriksaan keselamatan perlu dilakukan secara rutin ke atas semua pekerja dan sukarelawan sebelum diterima bekerja untuk memastikan mereka tidak mempunyai latar belakang jenayah penderaan seksual atau risiko mendera kanak-kanak.

3. Perlindungan terbaik untuk kanak-kanak ialah melalui pendidikan. Ibu bapa dan guru tadika perlu mengajar kanak-kanak mengenai sentuhan ‘baik’ dan sentuhan ‘tidak baik’. Arahkan kanak-kanak untuk memberitahu ibu bapa atau guru apabila disentuh dengan cara yang membuatkan mereka berasa tidak selesa.

Sentuhan ‘tidak baik’ adalah menyentuh bahagian anggota badan yang biasanya tertutup dengan pakaian, misalnya bahagian sulit. Kanak-kanak juga perlu diajar peraturan asas untuk memastikan diri selamat misalnya tidak mengikut atau menerima makanan daripada orang yang tidak dikenali.

4. Ibu bapa perlu sentiasa berwaspada dengan memantau di mana anak berada dan mengetahui dengan siapa anak mereka bersama. Selain itu, mereka perlu peka dengan sebarang perubahan emosi atau tingkah laku anak.

5. Beritahu kanak-kanak bahawa mereka perlu memaklumkan ibu bapa atau orang dewasa yang boleh dipercayai apabila diminta melakukan sesuatu atau diperlakukan dengan cara yang membuatkan mereka berasa tidak selesa atau gembira.

Beritahu kanak-kanak mereka boleh mungkir janji dengan memberitahu rahsia kepada ibu bapa, walaupun sudah berjanji untuk tidak memberitahu sesiapapun; jika rahsia itu mengenai perkara tidak baik yang dilakukan ke atas mereka.

6. Perhatikan tanda amaran. Kanak-kanak mangsa penderaan seksual sering mempamerkan keadaan tertekan dalam bentuk perubahan emosi dan tingkah laku seperti menangis tanpa sebab, menjadi sukar untuk berenggang, cepat marah, gangguan tidur misalnya mimpi ngeri yang kerap dan menangis di tengah malam; dan bertingkah laku seksual contohnya merangsang diri sendiri atau berminat dengan anggota privasi orang dewasa.

Walaupun tanda ini bukan spesifik bagi penderaan seksual, ia satu amaran dan ibu bapa perlu mendapatkan bantuan profesional untuk anak mereka.

7. Sokongan ibu bapa sangat penting untuk me­ngurangkan kesan negatif sekiranya kanak-kanak didera. Jaminan keselamatan dan perlindungan perlu dipastikan bagi kanak-kanak mangsa penderaan seksual.

Kanak-kanak yang menjadi mangsa perlu sentiasa diberitahu penderaan berlaku bukan salah mereka. Kanak-kanak mangsa penderaan seksual tidak harus dipersalahkan dalam apa jua keadaan, walaupun pada masa itu mereka memberi kebenaran untuk aktiviti seksual berkenaan.

Ibu bapa perlu memberi sokongan positif dan membantu kanak-kanak itu kembali kepada rutin harian secepat mungkin.

8. Sebahagian kanak-kanak mangsa penderaan seksual mungkin memerlukan rawatan psikologi atau psikiatri. Dengan sokongan keluarga dan penjaga, majoriti kanak-kanak mangsa penderaan seksual dapat kembali kepada kehidupan asal bersama keluarga dan bersekolah seperti biasa.

Namun, sebilangan kecil mungkin memerlukan bantuan lebih lanjut oleh profesional kesihatan mental untuk tempoh yang lebih lama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Jun 2016 @ 12:52 PM