GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Putrajaya: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menangani isu buli siber dan jenayah seksual dalam talian terhadap kanak-kanak.

Menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, Jawatankuasa Tindakan Bersepadu Pengurusan Isu Kanak-Kanak Dalam Talian itu ditubuhkan pada 15 Jun lalu yang membabitkan 15 ahli jawatankuasa induk daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Beliau berkata, penubuhan itu sebagai usaha memastikan keselamatan dan perlindungan supaya golongan kanak-kanak tidak terjebak dalam buli siber atau jenayah seksual dalam talian.

"Mesyuarat pertama yang dipengerusikan saya sendiri sudah diadakan pada Jun lalu bagi membincangkan langkah advokasi dan intervensi bersesuaian.

"Dalam usaha menangani isu keselamatan kanak-kanak dalam talian, kementerian komited melaksanakan program advokasi melalui kempen membanteras jenayah seksual kanak-kanak di media sosial dan video pendek.

"Ia adalah langkah pencegahan dan memberi kesedaran kepada ibu bapa, ahli keluarga dan masyarakat untuk melindungi kanak-kanak daripada pihak atau individu tidak bertanggungjawab," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Kanak-Kanak Kebangsaan 2021 bertemakan 'anak kita masa depan kita' di KPWKM di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rina berkata, penubuhan jawatankuasa berkenaan selaras komitmen kerajaan melalui Artikel 34 Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berhubung eksploitasi seksual yang jelas melindungi golongan itu daripada sebarang bentuk eksploitasi dan penderaan seksual.

Katanya, kementerian turut memperkenalkan simbol kaktus sebagai lambang kepada perlindungan kanak-kanak oleh kerajaan dan Keluarga Malaysia terhadap jenayah seksual dalam talian, pada perasmian sambutan itu.

Dalam perkembangan lain, Rina memaklumkan, 162 kanak-kanak yang tidak mempunyai sijil kelahiran dan kewarganegaraan di institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang diusahakan mendapat pendidikan arus perdana seiring kanak-kanak lain.

"Ketika ini JKM sedang menjalankan kolaborasi strategik dengan Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berhubung perkara itu," katanya.

Katanya, kementerian juga komited menambah baik prosedur pengurusan pusat jagaan terutaman pusat jagaan orang kurang upaya (OKU) dengan menekankan aspek pengasuhan dan latihan psikososial yang berkualiti.

Dalam pada itu, beliau berkata, isu kanak-kanak ditempatkan bersama Orang Yang Layak dan Sesuai yang mendapat perhatian masyarakat sebelum ini, turut diambil tindakan oleh JKM dengan menambah baik garis panduan sedia ada.

Tambah beliau, antara penambahbaikan dilaksanakan adalah menghadkan pengambilan kanak-kanak di bawah jagaan pada satu masa mengikut kesesuaian dan membuat pemantauan secara berkala sepanjang penempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 2:11 PM