BERNAMA

SIASATAN Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mendapati pembayar cukai yang mendakwa premis dan syarikat miliknya diserbu LHDN ala gangster tahun lalu, gagal mengisytiharkan pendapatan daripada perniagaan membabitkan sejumlah pelarian cukai yang besar.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Seri Sabin Samitah berkata, LHDN bagaimanapun tertakluk kepada kerahsiaan di bawah Seksyen 138, Akta Cukai Pendapatan 1967, yang memperuntukkan bahawa maklumat terperinci berhubung siasatan itu tidak boleh didedahkan kepada pihak ketiga.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini susulan dakwaan sebuah kolej bahawa LHDN membuat serbuan ala gangster seperti disiarkan satu portal semalam, Sabin berkata, LHDN membuat lawatan mengejut ke atas premis pembayar cukai pada Mac 2018.

Menurutnya, tindakan siasatan diambil selepas memberi pertimbangan kepada semua maklumat dan bukti risikan yang diperoleh dan dianalisis berkaitan dengan pembayar cukai itu dan proses kerja berhubung tindakan siasatan itu digariskan dalam Rangka Kerja Siasatan Cukai.

“Operasi siasatan ini dilaksanakan secara profesional selaras dengan rangka kerja siasatan dan peruntukan undang-undang di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

“LHDN sedang mempertimbang dan mengkaji secara serius dakwaan yang dibuat serta tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang cuba untuk mencemar imej dan nama baik agensi ini dengan dakwaan tak benar,” katanya.

Sabin berkata, siasatan melalui kaedah lawatan mengejut dihentikan serta-merta mulai Mei 2018 iaitu selepas kerajaan baharu mengambil alih pentadbiran negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2019 @ 8:22 PM