ANTARA aksesori disyaki digunakan sindiket untuk menjalankan kegiatan penjualan darjah kebesaran Kedah tidak diiktiraf. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA aksesori disyaki digunakan sindiket untuk menjalankan kegiatan penjualan darjah kebesaran Kedah tidak diiktiraf. FOTO Ihsan PDRM
Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Aktif sejak 2015 dan menyasarkan individu dikenal pasti golongan elit dan ahli perniagaan untuk menjual darjah kebesaran Kedah pada harga antara RM25,000 hingga RM103,000.

Kegiatan sindiket penjualan dan penggunaan darjah kebesaran tidak diiktiraf itu bagaimanapun tumpas selepas polis menahan 19 individu dalam operasi bermula 7 November lalu hingga kelmarin.

Ketua Polis Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, suspek ditahan berusia 30 hingga 63 tahun terdiri daripada lelaki dan wanita tempatan yang mempunyai pelbagai latar belakang.

Katanya, mereka dikesan menggunakan dan menjual darjah kebesaran Setia Diraja Kedah (DSDK) sebelum mendapat kurniaan Sultan Kedah.

"Sebelum itu, kita menerima aduan yang dibuat Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Kedah pada 5 Oktober lalu yang mengesan kegiatan terbabit.

"Tangkapan dibuat secara berasingan di beberapa lokasi sekitar negeri ini dan negeri lain," katanya.

ANTARA dokumen yang dirampas. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA dokumen yang dirampas. FOTO Ihsan PDRM

Kamarul Zaman berkata, susulan tangkapan itu, pihaknya merampas beberapa barangan termasuk aksesori dan dokumen, selain kad keahlian Jemaah Dato Negeri Kedah palsu, jata negeri dan beberapa barangan berkaitan Darjah Kebesaran.

"Hasil siasatan mendapati modus operandi sindiket mendekati individu dikenal pasti sebagai golongan elit dan ahli perniagaan serta menawarkan gelaran darjah kebesaran Kedah, dengan bayaran sehingga RM103,000.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Kesalahan Yang Berhubung dengan Anugerah 2017 (Akta 787) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 November 2021 @ 10:00 AM