GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


BUKAN saja gagal meminjam RM10,000, rugi pula RM31,910 akibat terjerat dengan sindiket pinjaman wang tidak wujud.

Itu yang berlaku kepada pegawai makmal sebuah kilang perindustrian di Kepala Batas selepas dia berminat dengan tawaran iklan di Facebook (FB) yang akhirnya memerangkap diri.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa berusia 45 tahun terpedaya dengan sindiket itu sejak Julai lalu.

"Ketika itu mangsa terlihat iklan di FB yang menawarkan pinjaman wang dengan kadar rendah.

"Mangsa kemudian mengisi beberapa maklumat dan seterusnya menerima pesanan ringkas dari seorang individu tidak dikenali memperkenalkan diri sebagai ejen pinjaman wang.

"Selepas beberapa perbincangan, mangsa bersetuju meminjam RM10,000 dan diminta membuat beberapa transaksi untuk urusan pemprosesan pinjaman," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa membuat bayaran sehingga berjumlah RM31,910 sebelum tersedar ditipu selepas merujuk kepada seorang kenalannya yang memberitahu bahawa dia terjebak dengan sindiket penipuan.

"Mangsa terus membuat laporan polis semalam.

"Jangan sesekali mudah terpedaya dan peka terhadap apa jua bentuk penipuan dalam talian supaya tidak menjadi mangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Ogos 2020 @ 11:52 AM