Anggota APMM Daerah Maritim Kudat yang menjalankan bantuan kecemasan untuk memindahkan mangsa di Pulau Banggi, Kudat, semalam. FOTO Mohd Ruzaini Zulkepli
Anggota APMM Daerah Maritim Kudat yang menjalankan bantuan kecemasan untuk memindahkan mangsa di Pulau Banggi, Kudat, semalam. FOTO Mohd Ruzaini Zulkepli
Mohd Ruzaini Zulkepli


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kudat melaksanakan bantuan kecemasan bagi memindahkan wanita hamil tujuh bulan yang mengalami pendarahan teruk dari Pulau Banggi ke Hospital Kudat, semalam.

Dalam kejadian 10 pagi itu, Milina Jaid, 21, dipindahkan ke Hospital Kudat dari Klinik Kesihatan Karakit di pulau berkenaan menggunakan Bot Kilat 1 milik APMM Daerah Maritim Kudat.

Pengarah APMM Wilayah Sabah dan Labuan Laksamana Muda Maritim Mohd Zubil Mat Som berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu pada 10.15 pagi sebelum sepasukan anggota dikerahkan untuk menjalankan bantuan kecemasan.

Menurutnya, mangsa mengalami pendarahan teruk akibat uri kandungan terjatuh dan memerlukan rawatan segera di Hospital Kudat.

"Bot tiba di jeti pulau itu pada 12 tengah hari dan membawa mangsa ke Hospital Kudat," katanya hari ini.

Beliau berkata, mangsa ditemani ibunya dan anggota perubatan Klinik Kesihatan Karakit tiba di jeti Marina Kudat pada 1.20 tengah hari sebelum dikejarkan ke Hospital Kudat dengan menggunakan sebuah ambulans.

"Mangsa kini berada di Hospital Kudat dan dilaporkan stabil sebaik menerima rawatan," katanya.

Mohd Zubil berkata, APMM sentiasa bersedia melaksanakan bantuan kecemasan kepada orang ramai terutamanya di perairan maritim di negeri ini.

"APMM bersedia memberi bantuan kecemasan seumpama kes ini dan orang ramai diminta menghubungi talian MERS 999 untuk sebarang masalah berkaitan maritim di negeri ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2017 @ 4:45 PM