PASUKAN penyelamat memberi bantuan kepada mangsa yang parah.
PASUKAN penyelamat memberi bantuan kepada mangsa yang parah.
Mohd Ruzaini Zulkepli


Kudat: “Api dari bot itu begitu besar sehingga asap tebal menutupi awan di sekitar kampung kami,” kata saksi dikenali Muhamadin Razak, 41, ketika menceritakan detik cemas melihat sebuah bot kargo membawa muatan petrol meletup dan terbakar di perairan Pulau Banggi, Kudat, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.50 petang itu, dua kru bot Jafar Janidil, 61, dan Shalan Ashadan, 27, meninggal dunia akibat melecur di badan.

Tiga lagi penumpang, Azmain Nawali, 45, bersama dua anak Jafar iaitu Mohd Kamarudin, 26, dan Mohamad Nasaruddin berusia 10 tahun turut parah akibat melecur.

Semua yang melecur dibawa ke Hospital Kudat untuk mendapatkan rawatan manakala mayat dua mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Klinik Karakit untuk tindakan lanjut.

Muhamadin yang berasal dari Kampung Padang, Pulau Banggi berkata, ketika kejadian dia baru selesai menunaikan solat Maghrib sebelum dikejutkan bunyi letupan kuat dari arah laut berhampiran pantai perkampungan mereka.

“Saya dan beberapa penduduk kampung kemudian bergegas meminta bantuan kerana kami difahamkan ada beberapa individu terperangkap di dalam bot berkenaan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Sementara itu, Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Muda Maritim Mohd Zubil Mat Som berkata, sebaik menerima maklumat mengenai kejadian itu, sepasukan anggota daripada ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim Kudat dikejarkan ke lokasi kejadian untuk bantuan kecemasan.

“Kita menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 7.03 malam dan terdapat sebuah bot kargo yang membawa muatan petrol sebanyak 10,000 liter terbakar serta meletup di 0.3 batu nautika berhampiran perairan Pulau Banggi.

“Difahamkan bot berkenaan berlabuh di perairan Kampung Padang, Pulau Banggi untuk memindahkan minyak.

“Letupan itu menyebabkan lima individu melecur teruk sehingga dua daripadanya meninggal dunia,” katanya.

Beliau berkata, semua individu di dalam bot kargo berkenaan warga tempatan dan mangsa yang parah masih berada di hospital bagi menjalani rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2017 @ 8:38 AM