ACRYL Sani Abdullah Sani
ACRYL Sani Abdullah Sani
Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail

Kuala Lumpur: Daftar keahlian dengan bayaran RM1,700 dan dijanjikan bonus antara RM800 hingga RM1,200 selepas tempoh tiga bulan.

Itu janji syarikat dimiliki seorang lelaki bergelar Datuk Seri kepada 800,000 pelabur yang menyertai skim ‘cepat kaya’ membabitkan kerugian RM3.75 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kegiatan penipuan itu terdedah susulan 113 laporan polis diterima.

Susulan laporan diterima itu, polis menahan seorang lelaki bergelar Datuk Seri yang juga dalang utama skim pelaburan itu di sebuah rumah di Melaka, pagi semalam.

Menurutnya, suspek berusia 39 tahun itu adalah pengerusi syarikat berkenaan.

“Siasatan yang dijalankan mendapati syarikat itu ditubuhkan pada 2015 dan masih aktif beroperasi sehingga kini. Syarikat itu mendakwa menjalankan perniagaan dengan objektif utama membantu peniaga industri kecil dan sederhana (IKS) bagi menjual produk dihasilkan melalui stokis milik syarikat.

“Pelabur perlu mendaftar dengan membayar yuran keahlian dan dijanjikan bonus selepas tiga bulan,” katanya.

Namun beliau berkata, bonus yang dijanjikan tidak dibayar, sekali gus menyebabkan pelabur membuat laporan polis.

Acryl Sani berkata, polis turut merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda model Range Rover, telefon pintar iPhone 7 Plus dan pelbagai dokumen milik suspek.

Menurutnya, suspek direman selama tiga hari bermula semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

“Orang ramai diingatkan sentiasa berwaspada dan tidak menjadi mangsa kegiatan penipuan pelaburan. Masyarakat diminta membuat semakan dengan agensi kerajaan yang berkaitan bagi memastikan kesahihan pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat, sekali gus mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2017 @ 4:25 AM