Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


Kuala Lumpur: Dalang utama sindiket pelaburan Crude Palm Oil (CPO) membabitkan penipuan berjumlah RM31 juta berjaya diberkas di sebuah restoran di Pulau Pinang, 4 petang, hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, suspek berusia lingkungan 50 tahun itu ditahan polis susulan tangkapan lelaki berusia 35 tahun di ibu kota, Ahad lalu.

"Dalang utama itu akan dibawa ke rumahnya untuk pemeriksaan lanjut dan rampasan kenderaan," katanya dalam kenyataan tadi.

Kejayaan JSJK ini turut dikongsi Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar di status akaun Twitternya sebentar tadi.

Ahad lalu, JSJK menahan suspek berusia 35 tahun yang terbabit dalam penipuan pelaburan CPO menawarkan keuntungan sekitar 15 hingga 25 peratus hanya dalam tempoh 12 hari bekerja.

Sebanyak 248 laporan polis diterima dan siasatan mendapati sindiket itu sudah mengutip wang pelaburan sebanyak RM31 juta dengan individu penting melarikan diri sebaik menutup operasi syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2017 @ 8:19 PM