MOHD Nasuha bersama sebahagian daripada anugerah yang diterimanya.
MOHD Nasuha bersama sebahagian daripada anugerah yang diterimanya.
MOHD Nasuha  (dua dari kiri)  menjadi pendaki termuda ketika berusia 21 tahun  berjaya menawan puncak Gunung Everest.
MOHD Nasuha (dua dari kiri) menjadi pendaki termuda ketika berusia 21 tahun berjaya menawan puncak Gunung Everest.
Noor Ainum Ibnu Hajar Abu Seman

Raub: Tanggal 21 Mei 2013, 8.31 pagi waktu Nepal adalah tarikh dan masa keramat yang tidak dapat dilupakan Mohd Nasuha Shamsuddin, apabila menawan puncak tertinggi di dunia iaitu Gunung Everest ketika berusia 21 tahun.

Lebih manis apabila dia menjadi peserta pertama menerusi Ekspedisi Demi Negara Everest 2013 yang tiba di puncak berketinggian 8,848 meter (m) itu, sekali gus diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi kategori pendaki Gunung Everest paling muda di Malaysia.

Sejak itu, pelbagai anugerah diterima antaranya, Ikon Belia Negara, Ikon Belia FELDA, Anugerah Khas Daya Juang Negeri Pahang dan terbaru Anugerah Belia Negeri Pahang Kategori Khas Diraja.

Mohd Nasuha, 25, berkata, kenangan indah itu pasti tidak dapat dilupakan kerana selain membanggakan keluarga, dia turut mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

Pengurus program Kelab FELDA United berasal dari FELDA Tersang 3, di sini, berkata misi menakluk gunung tertinggi itu bermula apabila Kelab Eksplorasi 7 Benua (KE7B) dengan kerjasama FELDA mengadakan ujian kecergasan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jengka, Maran, untuk mencari anak FELDA menyertai ekspedisi berkenaan.

Katanya, atas saranan pensyarahnya dia yang ketika itu berada di semester empat Diploma Pengajian Sukan di universiti sama menyertai ujian kecergasan dijalankan kelab berkenaan.

“Walaupun berjaya melepasi ujian kecergasan itu, ia tidak bermakna saya sudah terpilih untuk ke Everest.

“Sebaliknya, saya dan peserta lain masih berada di peringkat saringan dan perlu mengikuti latihan intensif selama tujuh bulan,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di FELDA Tersang 3.

Mohd Nasuha berkata, selama tempoh latihan itu dia terpaksa menangguhkan pengajian di UiTM dan tinggal di kediaman disediakan Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

“Dalam tempoh tujuh bulan itu, saya dan peserta lain meneruskan latihan dengan mendaki gunung di serata tanah air.

“Malah, kami juga melakukan latihan pendakian di gunung ‘rintis’ iaitu gunung yang baru saja digazet,” katanya.

Anak ketiga daripada enam beradik itu berkata, latihan pendakian di puncak tertinggi Malaysia iaitu Gunung Kinabalu, Sabah, turut dilakukan sebelum menjalani sesi latihan bersalji di Gunung Labuche dan Gunung Island Peak di banjaran Himalaya.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan itu berkata, selepas latihan iklim peserta terpilih seramai lima orang termasuk dua jurulatih mula berkampung di Everest Base Camp sebelum memulakan pendakian.

Katanya, pendakian tujuh peserta Malaysia itu bermula dengan diiringi beberapa pemandu arah warga tempatan.

“Pendakian kami bermula pada sebelah malam, seawal jam 1 pagi kerana ketika itu ais membeku dan pergeseran ais kurang,” katanya.

Katanya, sepanjang tujuh hari pendakian, pelbagai cabaran dan halangan ditempuh bersama rakan sebelum berjaya menawan puncak tertinggi dunia itu.

“Ketika di ‘Camp 3’ yang berketinggian 7,400 m, bekalan makanan kumpulan kami hilang sehingga terpaksa berkongsi sebungkus nasi untuk tujuh orang dan makanan ringan seperti biskut dan segelas air sebelum meneruskan pendakian selama 13 jam pada keesokan harinya.

“Saya juga diserang penyakit ‘khumbu cough’ iaitu batuk yang teruk sehingga menyebabkan bengkak di bahagian kanan dada sejak di base camp, malah ubat dimakan juga tidak berjaya memulihkan kerana berada dalam persekitaran berbeza,” katanya.

Menurutnya, keadaan itu (bengkak di dada) secara tidak langsung menyukarkan pendakian terutama ketika hampir tiba di puncak.

“Saya terpaksa mengikat tali pada tangan dan ditarik untuk naik ke atas puncak sebaik saja pemandu arah mengesan bengkak di dada kanan saya.

“Syukur dalam kesakitan itu, saya berjaya menjadi peserta pertama tiba di puncak dan masih mampu mengalunkan azan walaupun dengan suara mendatar saja,” katanya memaklumkan pemandangan dari puncak Gunung Everest sungguh cantik dan mengagumkan.

Mohd Nasuha berkata, sebaik pulang ke tanah air, pengalaman pendakiannya ke puncak gunung tertinggi di dunia itu dikongsi melalui ceramah motivasi bersama pelajar sekolah dan universiti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2017 @ 3:58 AM