HAWARI akan melakukan misi Keluarga Malaysia Everest 2022 (KAME 2022) pada April 2022. FOTO Ihsan Muhammad Hawari
HAWARI akan melakukan misi Keluarga Malaysia Everest 2022 (KAME 2022) pada April 2022. FOTO Ihsan Muhammad Hawari
Samadi Ahmad

Putrajaya: "Saya berazam mengibar Jalur Gemilang sekaligus membuktikan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) juga mampu menawan puncak gunung tertinggi dunia," kata Muhammad Hawari Hashim, 31, salah seorang peserta pasukan Keluarga Malaysia Everest 2022 (KAME 2022).

Hawari adalah golongan OKU pekak dan bisu sejak lahir bakal menjadi OKU pertama negara menawan puncak tertinggi dunia dalam misi pendakian ke Everest April hadapan.

Menurutnya, dia yang meminati sukan rekreasi lasak menanam cita-cita untuk menjejakkan kaki di puncak Everest sejak 2020, namun terhalang disebabkan pandemik Covid-19.

Beliau yang juga kakitangan di Muzium Pulau Pinang, berkata, dia membuat persiapan sejak dua tahun lalu dengan mengadakan latihan fizikal dan mental melalui pendakian beberapa gunung di dalam negara.

Katanya, dia bersama ahli pasukan sudah membuat persiapan latihan rapi dan pernah sampai di Annapurna Base Camp (ABC), kira-kira 4,130 meter dari aras laut pada September 2019.

"Saya yakin dan percaya boleh melakukan apa saja walaupun dianggap mustahil oleh ramai orang kerana kekurangan yang ada pada diri ini.

"Cabaran menawan Everest ini bukan kecil, Selain menuntut stamina dan kekuatan mental tinggi, pendaki ada ketikanya terpaksa berdepan serangan penyakit akut gunung (AMS).

"Saya merasa gembira bercampur takut diberi peluang menyertai misi besar ini kerana AMS akan menyebabkan pelbagai masalah pada diri.

"Saya bersyukur misi ini mendapat dukungan dan motivasi dari seluruh ahli keluarga termasuk isteri, Safiyyah Tang Xie Li, 31,yang menjadi sumber inspirasi kepada kekuatan saya untuk melaksanakan misi mencabar ini," katanya.

Misi diketuai Azim Afif Ishak, 32, pendaki Everest 2016 itu bergabung sebagai pasukan Keluarga Malaysia Everest 2022 (KAME 2022) bagi misi menakluk gunung tertinggi di dunia itu pada April 2022 dan membuktikan kekuatan perpaduan adalah kunci kejayaan.

Pendaki lain dalam KAME 2022 ialah Jurutera, Ahmad Murshid Maktar, 34,(Pulau Pinang), Pegawai Eksekutif,Alvin Chong Yee Lim, 48,(Selangor), Ahli perniagaan, Chandra Kanthen Jumbulingam, 42,(Kedah), kakitangan swasta, Ayu Wanirah Naharuddin, 29,(Sabah) dan Pegawai Sukan, Rina Jordana Adnan,41,(Selangor).

Penganjuran KAME 2022 dengan kos RM2.4 juta ini turut mendapat sokongan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Disember 2021 @ 10:52 AM