KIBARAN bendera Malaysia oleh Khairul Nizam (empat dari kanan) dan rakan di Gunung Everest Base Camp.
KIBARAN bendera Malaysia oleh Khairul Nizam (empat dari kanan) dan rakan di Gunung Everest Base Camp.
Nur Ain Musdad


Melaka: Cabaran laluan berlumpur dan diliputi salji tebal, jarak pandangan terhad serta keadaan cuaca sejuk bukan penghalang kepada ‘kaki gunung’ yang sanggup mendaki hingga ke puncak semata-mata mahu melihat keindahan alam semula jadi dan mencari kepuasan.

Mereka juga tidak kisah memikul bersama peralatan dan tali digunakan ketika mendaki serta berasa tidak selesa dengan iklim sejuk di tanah tinggi.

Namun bagi Penolong Pegawai Tadbir Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Khairul Nizam Minhat, 34, pengalaman sepanjang mengikuti ekspedisi mendaki,puncak Island Peak di Nepal sukar dilupakan dan masih segar dalam ingatan.

Ekspedisi itu dianjurkan kelab Malaysian Backpackers dan disertai 20 pendaki daripada pelbagai agensi di seluruh negara dengan menyasarkan pendakian ke Everest Base Camp pada ketinggian 5,364 meter dan Gunung Kala Patthar (5,555 meter).

“Daripada 20 peserta, hanya sembilan saja yang meneruskan pendakian sehingga ke puncak Island Peak iaitu pada ketinggian 6,188 meter dari paras laut.

“Antara cabaran lain perlu saya tempuhi adalah melepasi gaung dengan menggunakan tangga aluminium, nampak mudah tetapi dalam keadaan suhu bawah paras beku sambil memikul pelbagai peralatan lain, ia tetap memberikan tekanan,” katanya.

Khairul Nizam berkata, sebelum mendaki dia melakukan persiapan dua bulan lebih awal supaya keadaan mental, fizikal dan staminanya berada pada tahap terbaik dengan melakukan aktiviti kecergasan.

Menceritakan pengalamannya Khairul Nizam berkata, selain mencari kepuasan dengan mendaki gunung, dia dan peserta lain melakukan program khidmat masyarakat di tempat mereka singgah dengan mengecat dan menghulurkan sumbangan kepada penduduk tempatan yang kurang berkemampuan.

“Aktiviti mendaki ini bukan hanya mengajar kami mencabar keupayaan diri tetapi mendidik supaya sabar, bertolak ansur dan bekerjasama sebagai satu pasukan. Walaupun penat, saya berasa puas apabila tiba di puncak dan perasaan itu sentiasa menguatkan semangat saya untuk terus aktif dalam aktiviti pendakian lagi,” katanya.

Menurutnya, pada kebiasaannya dia melakukan aktiviti kecergasan seperti menunggang basikal, berjalan, berjoging dan berenang selepas tamat waktu bekerja bagi membina stamina, selain menghilangkan rasa bosan.

“Bagi memastikan badan sentiasa sedia mendaki, saya kerap berlatih di Gunung Datuk di Rembau, Negeri Sembilan kerana mempunyai trek yang ‘pacak’ (curam) dan landai, selain tidak mengambil masa terlalu lama untuk sampai ke puncak atau turun semula.

“Aktiviti ini umpama sebati dengan saya, kali pertama mendaki gunung ketika usia 14 tahun,” katanya.

Sepanjang aktif dalam aktiviti itu, dia menawan puncak gunung utama di negara ini seperti Gunung Ledang, Gunung Yong Belar, Gunung Nuang, Gunung Santubong, Gunung Berembun dan Gunung Kinabalu.

Dia juga menawan puncak tertinggi di Indonesia iaitu Gunung Kerinci di Padang, Gunung Mahameru di Surabaya, Gunung Rinjani di Lombok, Gunung Agung dan Gunung Baturdi Bali.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Februari 2017 @ 5:14 AM