Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


SEORANG lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, hari ini atas 44 pertuduhan penipuan skim pelaburan Focus Capital Growth yang tidak wujud antara Mac hingga Jun lalu.

Tertuduh, Aravind Singh Sarjit Singh, 23, membuat pengakuan di hadapan Majistret Mohd Zaki Abd Rahman sebaik semua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, Aravind Singh didakwa menipu dua mangsa, V Vekneswaran, 26, dan S Dievendran, 28, bagi menyertai pelaburan itu sebelum wang dimasukkan ke dalam akaunnya.

Wang itu dimasukkan secara atas talian di Seremban dan Nilai antara Mac hingga Jun lalu menyebabkan mangsa kerugian kira-kira RM68,000.

Oleh demikian, dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Mendengar pengakuan tidak bersalah, Mohd Zaki mengarahkan tertuduh membayar ikat jamin sebanyak RM32,000 dan kes disebut semula pada 13 Oktober depan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali manakala tertuduh diwakili peguam, S Karthigesan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2017 @ 3:16 PM